NENAD Bacina. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
NENAD Bacina. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Nenad Bacina mahu barisan pemainnya terus mendaki carta Liga Super dengan memburu kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras, malam esok.

Jelas Bacina, kemenangan dalam saingan Piala Malaysia perlu diteruskan di saingan liga pula.

Katanya, beliau percaya tiga mata dapat diraih dengan masing-masing cukup mengenali antara satu sama lain, malah tahap keserasian cukup baik selepas tiga musim beraksi bersama.

"Saya sudah berada di sini untuk tempoh tiga tahun dan saya lihat pemain ada kualiti untuk terus mencipta kejutan kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka sudah bersama untuk jangka masa lama.

"Pemain ada pengalaman yang cukup di peringkat tertinggi apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia 2021, beraksi di final Piala AFC tahun lalu dan final Piala FA tahun ini.

"Justeru, tugas saya cukup mudah hanya perlu meningkatkan keyakinan pasukan bahawa mereka mampu untuk meraih keputusan positif tidak kira bertemu siapa nanti," katanya.

Bacina yang dilantik bagi menggantikan Bojan Hodak pada bulan lalu dilihat berjaya membawa perubahan dalam pasukan termasuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini selepas mengenepikan Sri Pahang FC di suku akhir.

Skuad The City Boys kini mengutip 31 mata manakala Kedah yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain gah meraih 44 mata selepas mengharungi 21 perlawanan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 6:54 PM