ANTARA aksi Selangor menentang Terengganu pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO AHMAD UKASYAH
ANTARA aksi Selangor menentang Terengganu pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO AHMAD UKASYAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu pemainnya segera melupakan kekalahan di tangan Terengganu apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Red Giants yang kalah menerusi agregat 3-1 pada dua aksi suku akhir Piala Malaysia sepanjang minggu lalu, bakal sekali lagi berdepan skuad Penyu dalam aksi Liga Super.

Menyedari pasukannya masih bersedih di atas kekalahan itu, Cheng Hoe mahu anak didiknya bangkit memperagakan aksi lebih baik bagi memastikan kedudukan dalam liga kekal di tangga kedua.

"Kita kena lupakan dan fokus untuk aksi berikutnya dalam Liga Super menentang Terengganu sekali lagi.

"Pemain kena ambil ia sebagai pengajaran (kekalahan dalam suku akhir Piala Malaysia) terbaik," katanya yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Ketika ini, Selangor FC berada pada landasan tepat untuk melangkah ke saingan Piala AFC musim depan, dengan perlu menamatkan aksi Liga Super di tangga kedua yang menjanjikan slot ke saingan Asia itu.

"Apa yang penting kita kena fokus tentang kedudukan nombor dua, kita tahu buat masa ini pemain-pemain alami tekanan yang besar untuk dapatkan tangga kedua itu.

"Apapun kita tahu kelemahan dan kekuatan kita, dan kita tahu kita mampu mengekalkan posisi tersebut dengan kita perlu bekerja keras.

"Setiap pemain kena pastikan komitmen dalam latihan. Cuma bukan mudah nak susun (kekalkan momentum) selepas perlawanan dengan Terengganu, kerana ada rehat yang panjang sebab kita tak main di separuh akhir Piala Malaysia nanti.

"Tapi ia bukan alasan, dan kami di bahagian jurulatih akan memastikan pemain sentiasa bersedia sehingga hujung musim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 8:42 PM