AKSI Callum Wilson menjaringkan gol keempat Newcastle.  FOTO Reuters
AKSI Callum Wilson menjaringkan gol keempat Newcastle. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Newcastle United Eddie Howe enggan mendabik dada selepas membelasah Sheffield United 8-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam dan berpendapat masih ada ruang boleh diperbaiki dalam pasukannya.

Sean Longstaff meletakkan Newcastle di depan minit ke-21 dan mereka mendahului 7-0 ketika permainan berbaki 15 minit dengan pemain gantian Alexander Isak melengkapkan pesta gol pelawat yang sebelum itu seri 0-0 di AC Milan dalam aksi Liga Juara-Juara.

Newcastle muncul pasukan pertama dalam sejarah EPL yang meledak lapan gol menerusi lapan pemain berbeza dalam satu perlawanan dan ia kemenangan terbesar mereka di tempat lawan.

Kemenangan itu juga menyamai rekod kemenangan terbesar mereka dalam sejarah liga selepas membelasah Sheffield Wednesday 8-0 pada 1999.

"Ya sangat bagus, saya tak tahu sama ia persembahan sempurna," kata Howe. "Kami sentiasa mencari aspek yang boleh diperbaiki namun saya gembira dengan pemain.

"Kami bermula sangat baik dan mendapat gol awal dan kami bermain bola sepak sangat bagus selepas itu. Ia menunjukkan anda betapa pemain sangat bermotivasi menghadapi perlawanan. Mereka sangat laparkan gol dan kejayaan."

Newcastle yang menduduki tangga keempat musim lalu kini di tangga kelapan dengan sembilan mata selepas enam perlawanan dan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 2:00 PM