PEMAIN Negeri Sembilan, Youssef Ezzejjari menanduk bola ke gawang JDT. FOTO Azrul Edham
PEMAIN Negeri Sembilan, Youssef Ezzejjari menanduk bola ke gawang JDT. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan tetap memuji corak persembahan pemainnya walaupun tewas kepada Johor Darul Ta`zim (JDT), 0-3 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Malah, beliau menegaskan anggapan sesetengah pihak NSFC akan beraksi seperti `parkir bas' ternyata meleset, sebaliknya mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya mengimbangi kekuatan JDT.

"Walaupun kita tiada ramai import, tapi pemain saya berjaya tunjukkan persembahan bertenaga dan semangat juang tinggi, dari segi taktikal kita boleh simpan bola dan ada ketikanya melakukan serangan.

"Kesannya ialah lawan tidak dapat berpesta gol dan penjaga gol JDT (Ahmad Syihan Hazmi Mohamed) tidak duduk diam kerana terpaksa menyelamatkan beberapa percubaan pemain Negeri Sembilan.

"Kita tidak pernah kalah besar walaupun turun dengan hanya satu atau dua pemain import kecuali tewas 0-7 kepada JDT pada peringkat awal saingan Liga Super (Mac lalu).

"Bayangkan jika kita ada tiga atau empat pemain import berkualiti seperti dimiliki JDT, sudah tentu pasukan ini mampu pergi jauh, malah kekalahan malam ini (malam tadi) pun bukan bermakna prestasi Negeri Sembilan terlalu teruk kerana gol kedua dan ketiga (JDT) boleh dipersoalkan," katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Negeri Sembilan hanya mempertaruhkan dua pemain import iaitu Herold Goulon di bahagian pertahanan namun terpaksa dikeluarkan selepas beraksi kira-kira 40 minit susulan kecederaan dialami selain Youssef Ezzejjari, di bahagian serangan.

Menurut Devan, beliau tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama seperti Casagrande dan Shahrel Fikri Md Fauzi kerana masalah kecederaan manakala Hein Thet Aung terpaksa membantu pasukan negaranya, Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 4:42 PM