BARISAN pemain JDT meraikan jaringan mereka. FOTO AZRUL EDHAM
BARISAN pemain JDT meraikan jaringan mereka. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban. Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat bekalan selesa apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-0, dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan besar itu dianggap akan memudahkan tugas skuad Harimau Selatan untuk menempah tiket ke separuh akhir kerana bakal beraksi di laman sendiri pada aksi suku akhir kedua, 23 September nanti.

JDT bermula garang dengan mengawal permainan dan melakukan serangan ke kawasan gol Negeri Sembilan sebaik wisel permainan.

Kehebatan JDT mula tercetus pada minit ke-14 apabila percubaan tepat Bergson Da Silva ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Firdaus Irman Mohd Fadhil sekali gus terselamat gawang skuad Hobin Jang Hobin.

Bagaimanapun gawang tuan rumah bocor juga akhirnya apabila bola lorongan Nathatel Shio Hong Wan, dimanfaatkan dengan baik Arif Aiman Mohd Hanafi apabila dia merembat padu dari luar kotak penalti pada minit ke-19, untuk meletakkan JDT di depan.

Serangan JDT tidak berhenti di situ apabila pada minit ke-23, percubaan Heberty Fernandes de Andrade hampir menerjah jaring.

Berikutan kesilapan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif Johan menjatuhkan Bergson dalam kotak penalti, JDT mendapat penalti dan dia yang mengambil sepakan berkenaan mudah menewaskan Firdaus Irman untuk gol kedua pelawat pada minit ke-30.

Negeri Sembilan berpeluang mendapatkan jaringan gol menerusi tandukan R Barathkumar pada minit ke-32, namun bola tandukan pemain terbabit ke arah pintu gol berjaya ditepis keluar penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bersambung babak kedua, anak buah K Devan dilihat meningkatkan intensiti persembahan mereka dan berjaya memberikan saingan lebih baik terhadap JDT berbanding pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun usaha Negeri Sembilan untuk mendapatkan gol ternyata sukar kerana JDT mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.

Sebaliknya, Bergson menambah derita Negeri Sembilan menerusi gol ketiga JDT pada minit ke-90, yang berpunca daripada sepakan bola mati dari luar kotak penalti, untuk pasukan itu pulang dengan kelebihan selesa menjelang aksi kedua di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 11:19 PM