HAALAND meraikan jaringan kelima City.
HAALAND meraikan jaringan kelima City.
Reuters

London: Mesin gol Manchester City Erling Haaland mencipta hatrik kelimanya di Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika juara bertahan mengekalkan permulaan cemerlang 100% selepas membelasah Fulham 5-1 semalam.

Son Heung-min meledak tiga gol untuk Tottenham Hotspur ketika menang 5-2 di Burnley manakala Brighton & Hove Albion menewaskan Newcastle United 3-1 di tempat sendiri menerusi hatrik penyerang mudanya Evan Ferguson.

Haaland mencipta empat hatrik ketika musim pertamanya di City dan tiga golnya ketika menentang Fulham menjadikan keseluruhan enam gol musim ini.

Julian Alvarez dan Nathan Ake turut menemui sasaran untuk City pada babak pertama manakala Tim Ream menyamakan kedudukan untuk Fulham. Tetapi selebihnya milik Haaland yang terlalu sukar disekat pertahanan pelawat.

"Kemenangan yang penting, kami menuju rehat antarabangsa dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan. Permulaan musim yang bagus," kata Haaland. "Saya kembali. Tiada masalah. Saya selalu lapar. Ia musim baharu dan saya sedia untuk itu."

PENJAGA gol Burnley James Trafford gagal menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Heung-min.
PENJAGA gol Burnley James Trafford gagal menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Heung-min.

City yang memburu gelaran keempat EPL berturut-turut meraih 12 mata maksimum dan Spurs 10 selepas membelasah Burnley 5-2 di Turf Moor.

Pasukan di tangga ketiga West Ham United yang menewaskan Luton Town 2-1 di tempat lawan kelmarin turut meraih 10 mata daripada empat perlawanan.

Permulaan hambar Chelsea di bawah kendalian Mauricio Pochettino berterusan selepas tewas 0-1 di tempat sendiri kepada Nottingham Forest hasil jaringan pemain gantian Anthony Elanga.

Namun Pochettino tetap berpandangan positif. "Kami tidak bermain fantastik tetapi saya fikir prestasi kami tidaklah teruk. Penyokong mahukan kemenangan dan kami perlu menggembirakan mereka," katanya.

Everton menjaringkan gol sulung mereka musim ini dan mendapat mata pertama selepas seri 2-2 di Sheffield United manakala Brentford turut seri 2-2 dengan Bournemouth di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 7:36 AM