MUNIZ (kanan) menjaringkan gol penyamaan untuk JDT ketika membelasah Sabah FC 5-1 di Stadium Likas, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
MUNIZ (kanan) menjaringkan gol penyamaan untuk JDT ketika membelasah Sabah FC 5-1 di Stadium Likas, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tunduk 1-5 pda aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Skuad Sang Badak terpaksa mengakui kehebatan JDT yang menyebabkan rekod tanpa kalah mereka dalam aksi Liga Super di Likas sebelum ini, akhirnya lebur.

Sabah bermain agak baik di hadapan kira-kira 15,000 penyokong di Stadium Likas dan mendahului menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-12.

Bagaimanapun, kelebihan anak buah Datuk Ong Kim Swee hanya bertahan empat minit sebelum JDT menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Juan Muniz pada minit ke-16.

JDT kemudian menambah jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson da Silva pada minit ke-23.

Kedudukan 2-1 itu mula melunturkan semangat pemain Sang Badak dan kekal sehingga berakhir babak pertama.

JDT kembali mencipta jaringan demi jaringan sejurus permainan bersambung pada babak kedua dan gol ketiga mereka hadir menerusi Herberty Fernandez pada minit ke-47.

Bergson menambah dua gol lagi pada minit ke-61 dan ke-72 untuk melengkapkan hatriknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 10:41 PM