ANTARA aksi Brendan Gan pada perlawanan hari ini. FOTO Selangor FC
ANTARA aksi Brendan Gan pada perlawanan hari ini. FOTO Selangor FC
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selangor FC tidak berhadapan masalah untuk menempah slot ke suku akhir Piala Malaysia walaupun pasukan terbabit tewas 1-2 kepada PDRM pada aksi kedua yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Skuad Gergasi Merah tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan gol apabila tonggak import mereka Yohandry Orozco bijak menyudahkan hantaran daripada rakan sepasukan pada minit 25 untuk mendahului perlawanan 1-0.

Tersentak dengan gol terbabit, pasukan pelawat yang dipimpin jurulatih baharu Datuk Ahmad Yunus Mohd Alif cuba menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Usaha skuad PDRM menggunakan taktikal hantaran jarak jauh ternyata berjaya memerangkap pertahanan lawan apabila Uche Agba melepasi perangkap ofsaid sebelum melorong bola kepada Nabil Latpi untuk menyumbat gol penyamaan pada minit 32.

Memasuki babak kedua menyaksikan Cheng Hoe melakukan sekurang-kurangnya lima tukaran pemain di bahagian pertahanan dan tengah bagi menyekat kemaraan PDRM.

PDRM berpeluang untuk mendahului perlawanan pada minit ke 60 menerusi Uche namun sepakannya jauh tersasar sekali gus menyelamatkan kubu Gergasi Merah.

Selangor turut berpeluang menambah jaringan pada minit 82 namun lorongan Ayron Del Valle yang gagal disudahi Ahmad Danial Asri apabila sepakan dari luar kotak penaltinya 'terbang' melepasi palang.

Namun gol kemenangan pasukan PDRM akhirnya tiba pada masa tambahan separuh masa kedua apabila ayam tambatan mereka Bruno Suzuki berjaya 'mencuri' bola daripada pertahanan lawan sebelum melorongkannya kepada Harith Haiqal untuk memastikan kedudukan 1-2.

Kedudukan 1-2 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus juara 33 kali Piala Malaysia itu berjaya mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia menerusi agregat 5-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 7:50 PM