Maguire masih kekal milik United. -FOTO AFP
Maguire masih kekal milik United. -FOTO AFP
Agensi

London: Masa depan Harry Maguire di Manchester United masih belum ditentukan kerana jendela perpindahan musim panas masih lagi belum berakhir.

Maguire menjadi topik hangat apabila West Ham dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya sejak beberapa minggu lalu namun hingga sekarang masih kekal sebagai pemain United.

The Hammers bersetuju dengan yuran perpindahan £30 juta (RM176.11 juta) dengan United pada awal jendela dan semakin hampir mendapatkannya.

Mereka bagaimanapun tidak dapat memuktamadkan syarat peribadi dengan pemain berusia 30 tahun itu yang mempunyai baki dua tahun dalam kontrak dengan gaji £190,000 (RM1.1 juta) seminggu di Old Trafford.

Pasukan David Moyes cuba membuat tawaran lain iaitu menandatangani Edson Alvarez dan Mohammed Kudus dari Ajax, James Ward-Prowse dari Southampton dan Konstantinos Mavropanos dari Stuttgart.

Namun menurut laporan media pada hujung minggu lalu, mereka memulakan semula perbincangan dan bersedia membayar lebih untuk menandatangani Maguire.

United sebelum ini berminat untuk menjual Maguire, tetapi langkah itu kini tidak mungkin dimeterai sebelum tarikh akhir pada 1 September.

Itu kerana kecederaan yang dialami oleh Raphael Varane ketika menentang Nottingham Forest pada Sabtu lalu.

"Dia mungkin tak puas hati. Jadi kami tidak mahu mempertaruhkan dia. Kami tahu kami mempunyai Harry Maguire dan Victor Lindelof, pengganti yang bagus," kata Ten Hag mengenai Varane.

Erik ten Hag memberitahu Maguire untuk kekal, bersabar dan tunggu masanya untuk bersinar.

"Bagi Harry, begitulah cara saya menggambarkannya. Dia perlu berjuang untuk mendapatkan tempatnya," katanya awal bulan ini.

Maguire memulakan hanya lapan perlawanan Liga Perdana musim lalu dan belum membuat penampilan tunggal dalam tiga perlawanan pembukaan pada 2023/24.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 9:20 AM