MAGUIRE bergelut mencari minit permainan sebelum ke Piala Dunia. FOTO AFP
MAGUIRE bergelut mencari minit permainan sebelum ke Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

London: Erik ten Hag tidak dapat menjanjikan minit permainan lebih panjang buat Harry Maguire tatkala pertahanan Manchester United itu sedang berusaha mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama England.

Maguire hampir pasti akan tersenarai ke Piala Dunia Qatar, tetapi minit permainannya bersama United yang semakin merosot menyukarkannya untuk mengisi kesebelasan utama skuad kendalian Gareth Southgate.

Pertahanan tengah itu, antara tonggak kejayaan England ketika mara ke final Euro 2020, tercicir daripada kesebelasan utama Ten Hag yang menggantikannya dengan Raphael Varane.

Kecederaan Varane ketika menentang Chelsea membolehkan Maguire kembali mendapatkan tempatnya ketika kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas West Ham hujung minggu lalu.

Bagaimanapun Ten Hag memilih Victor Lindelof ketika kemenangan ke atas Real Sociedad dalam aksi Liga Europa Khamis lalu.

Menjelang kunjungan United ke Aston Villa esok, Ten Hag tidak dapat menjanjikan tempat buat Maguire sebelum Piala Dunia.

"Saya perlu memikirkannya. Saya perlu melihat Aston Villa, dan ia sukar kerana kami tidak tahu kemampuan mereka yang mempunyai pengendali baharu.

"Jadi saya perlu melihat dan menilai pasukan itu dan kemudian kami mempunyai pilihan. Tetapi saya baru katakan, Licha (Martinez) dan Victor, mereka bergandingan dengan baik dalam beberapa perlawanan, tetapi Licha dan Harry juga bagus ketika menentang West Ham mereka juga tidak dibolosi.

"Ia pilihan yang perlu saya buat. Apabila saya memilih seseorang, ia bukan kerana yang lain itu tidak bagus," kata Ten Hag.

Maguire mungkin akan ke Piala Dunia dengan hanya satu penampilan dalam kesebelasan utama sepanjang tiga bulan lalu jika dia sekali lagi bermula di bangku simpanan ketika menentang Aston Villa dan Fulham sebelum liga berehat untuk kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 10:26 AM