Putrajaya: Penaung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) meminta badan induk berkenaan memberi kebenaran kepada skuad bola sepak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk beraksi dalam saingan liga kendalian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Presiden KLFA Datuk Seri Adnan Md Ikhsan selain mendapatkan maklumat dan punca pasukan itu tidak dibenarkan menyertai perlawanan kompetitif peringkat kebangsaan.

“Saya akan merayu jika perlu, terimalah DBKL sebagai satu pasukan yang bertanding dalam perlawanan berkenaan pada musim depan.

“Justeru, saya akan berjumpa dengan Presiden KLFA dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan beg dan kelengkapan persekolahan murid tahun satu di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustafa dilaporkan berkata, skuad bola sepak DBKL gagal memenuhi beberapa kriteria antaranya perlu bergelar juara atau naib juara Liga Super Kuala Lumpur atau sekurang-kurangnya bergelar juara Divisyen 1 selain memenangi Piala FA untuk membolehkan mereka beraksi di Liga FAM.

Nokman dipetik berkata, kali terakhir DBKL menjuarai Liga FAM ialah pada 1990 dan difahamkan mereka baru saja menubuhkan pasukan pada tahun ini dengan beraksi dalam saingan Divisyen 1 Kuala Lumpur sekali gus sudah faham dengan peraturan ditetapkan.

Katanya, tindakan itu adalah untuk bersikap adil kepada semua pasukan kerana juara Divisyen 1, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) turut berminat menyertai Liga FAM namun ditolak badan induk itu kerana tidak memenuhi kriteria.

Tengku Adnan berkata, sebelum ini, pasukan bola sepak DBKL pernah mencipta nama dalam Liga FAM sekali gus menjadi medan buat skuad warga kota memilih pemain.

Katanya, tiada sebab skuad DBKL dilarang daripada beraksi dalam Liga FAM kerana pasukan itu memenuhi syarat ditetapkan termasuk menjadi ahli gabungan KLFA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:01 AM