HARIZ Kamarudin (tengah) dijangka ambil alih posisi ditinggalkan Madinda. FOTO Ihsan FB NSFC
HARIZ Kamarudin (tengah) dijangka ambil alih posisi ditinggalkan Madinda. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjanjikan saingan sengit apabila berdepan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Kuala Terengganu, malam esok.

Meskipun bakal turun dengan hanya mempertaruhkan dua pemain import iaitu Herold Guolon dan Casagrande selepas penghijrahan Levy Madinda serta Safuwan Baharuddin, mereka akan berusaha mengekalkan rekod kemenangan 2-1, yang dicapai sebelum ini di laman sendiri.

Pemain tengah Negeri Sembilan, Mohamad Hariz Kamarudin menegaskan bahawa dia dan rakan sepasukan akan turun dengan persembahan lebih bertenaga bagi mempertahankan maruah pasukan itu.

Dia dan rakan yang lain sedar tugas mereka kali ini lebih sukar kerana beraksi di tempat lawan selain kelebihan pemain import yang dimiliki pasukan lawan itu, namun sudah bersedia berdepan cabaran itu.

"Fokus utama kami apabila turun menentang Terengganu malam esok adalah untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai pada pertembungan pertama sebelum ini di laman sendiri.

"Walaupun kami turun tanpa barisan utama terutama pemain import, namun kami akan berusaha menggandakan kekuatan dan memperagakan aksi mantap untuk mendapatkan tiga mata.

"Kami perlu mempamerkan persembahan lebih berkualiti bagi memecah kebuntuan kemenangan selepas enam perlawanan terdahulu tanpa meraih mata penuh," katanya di sini, hari ini.

Hariz yang dijangka mengambil alih posisi ditinggalkan Madinda, akui bersedia untuk menggalas tugas dan tangggunjawab itu, dalam memastikan skuad Hobin Jang Hobin kekal cemerlang dalam mengharungi baki perlawanan liga.

Dia yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada lima perlawanan terakhir liga yakin dapat menggalas tanggungjawab berkenaan jika itu diarahkan ketua jurulatih K Devan.

"Jika jurulatih sudah tetapkan, saya bersedia untuk beraksi di mana-mana posisi dan tugas ini bukan dipikul seorang pemain tetapi semua rakan dalam pasukan.

"Saya berjanji memberikan persembahan terbaik dan berharap kami dapat meraih keputusan positif," kata pemain berusia 25 tahun yang juga bekas pemain Kelantan United FC dan Johor Darul Ta`zim (JDT) II.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 1:35 PM