MBAPPE enggan bertemu wakil Al Hilal. FOTO AFP
MBAPPE enggan bertemu wakil Al Hilal. FOTO AFP
AFP

Paris: Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe enggan bertemu pegawai dari Al Hilal sekali gus memberi tamparan hebat kepada cita-cita tinggi kelab Arab Saudi itu untuk melengkapkan rekod perpindahan dunia bernilai 300 juta euro (RM1.51 bilion).

Bintang Perancis itu menolak "sebarang perbincangan dengan wakil kelab Al-Hilal, yang hadir di Paris," lapor harian sukan L'Equipe.

Menurut laporan itu, delegasi dari kelab Saudi datang ke Paris untuk memuktamadkan perpindahan pemain Brazil, Malcom dari Zenit Saint Petersburg.

Mereka juga mahu membentangkan projek mereka kepada Mbappe semasa berada di ibu negara Perancis.

"Pendekatan ini tidak akan berjaya. Kapten Les Bleus tidak pernah mempertimbangkan pilihan ini," lapor L'Equipe selepas wakil pemain berusia 24 tahun itu menolak sebarang perbincangan dengan wakil kelab Saudi berkenaan.

Al Hilal yang berpangkalan di Riyadh diberi kebenaran oleh PSG untuk membuka rundingan dengan Mbappe, yang tidak pernah menyatakan minat berhijrah ke liga Saudi yang kini semakin berkembang pesat.

Mbappe mempunyai baki satu tahun dalam kontraknya dengan PSG, yang mahu dia meninggalkan kelab itu sekarang berbanding tidak mendapat apa-apa pada musim panas seterusnya.

Tetapi dia enggan menandatangani kontrak baharu dan juara Perancis itu percaya Mbappe sudah mencapai perjanjian untuk berhijrah ke Real Madrid tahun depan.

Difahamkan Real mahu mendapatkan Mbappe secara percuma tahun depan dengan menawarkannya perjanjian lumayan kerana mereka tidak mahu membayar apa-apa kepada PSG dalam usaha mendapatkan khidmatnya.

Perselisihan antara Mbappe dan kelab Perancis itu mencapai kemuncak baharu hujung minggu lalu apabila mereka menggugurkannya daripada skuad yang berkunjung ke Jepun dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 7:28 AM