Papan tanda di Stadium Levi di Santa Clara, California memaklumkan pembatalan perlawanan bola sepak persahabatan antara Barcelona dan Juventus. FOTO AFP
Papan tanda di Stadium Levi di Santa Clara, California memaklumkan pembatalan perlawanan bola sepak persahabatan antara Barcelona dan Juventus. FOTO AFP
AFP

San Francisco: Perlawanan persahabatan Barcelona menentang Juventus di San Francisco, hari ini dibatalkan selepas terdapat jangkitan wabak virus gastroenteritis dalam kalangan kelab gergasi Sepanyol itu.

"Sebahagian besar skuad blaugrana dijangkiti virus gastroenteritis," kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Perlawanan di Stadium Levi's berkapasiti 68,500 itu adalah sebahagian daripada siri Jelajah Juara-Juara Bola Sepak, yang menampilkan enam kelab terkemuka Eropah, dan dijangka menarik ramai penonton.

Presiden Barcelona Joan Laporta menerusi komen yang disiarkan di laman web pasukan itu berkata, tiada tarikh untuk menjadualkan semula perlawanan itu.

"Kehidupan kadangkala memberi kami kejutan yang mengubah rancangan kami. Ia sangat sukar untuk pasukan dan pada masa yang sama sangat sukar untuk penyokong kami," kata Laporta.

Barcelona dijadualkan menentang kelab Liga Perdana, Arsenal, Rabu ini di Stadium SoFi dekat Los Angeles.

Kemudian mereka akan berkunjung ke Dallas untuk pertembungan dengan seteru utama di Sepanyol, Real Madrid Sabtu depan.

Barca menamatkan jelajah mereka dengan perlawanan menentang AC Milan di Las Vegas pada 1 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 8:51 AM