Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi. FOTO FB MFL
Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi. FOTO FB MFL
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi tampak 'mati kutu' sepanjang 45 minit babak pertama pada final Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kegagalan Arif memperagakan aksi lincahnya disebabkan oleh tugas cemerlang Kamal Azizi yang berjaya mengikat pemain sayap itu daripada bergerak bebas.

Malah sebenarnya, ini adalah aksi pertama Kamal Azizi di bahagian pertahanan kiri KL City di mana dia sebenarnya lebih banyak beraksi di posisi pertahanan kanan sebelum ini.

Mungkin ini adalah salah satu taktikal pengendali The City Boys iaitu Bojan Hodak yang menukar posisinya bagi menyekat gerakan Arif, dan ia dilihat berjaya.

Dalam aksi itu, JDT mendominasi aksi sepanjang 45 minit permainan dengan KL City lebih gemar menyerap asakan dengan bertahan di kawasan sendiri.

Kedua-dua pasukan sekurang-kurangnya meraih dua hingga tiga peluang untuk mencetak gol namun kecemerlangan penjaga gol sama ada Syihan Hazmi mahupun Kevin Ray Mendoza memberi kelegaan buat kem masing-masing, sekali gus terikat tanpa jaringan di babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 10:12 PM