ONANA (kiri) akan bergabung semula dengan Ten Hag di Man United selepas mereka bekerjasama di Ajax Amsterdam, sebelum ini. FOTO AGENSI
ONANA (kiri) akan bergabung semula dengan Ten Hag di Man United selepas mereka bekerjasama di Ajax Amsterdam, sebelum ini. FOTO AGENSI
Agensi

London: Andre Onana akan berlepas dari Milan, hari ini, untuk melengkapkan perpindahan ke Manchester United selepas Inter setuju menjual penjaga gol Cameroon itu dengan nilai £47.1 juta (RM279.65 juta).

United akan membayar yuran permulaan £43.7 juta (RM259.46 juta) dengan tambahan £3.4 juta (RM20.2 juta) bagi Onana yang akan menandatangani kontrak lima tahun dengan tambahan lanjutan 12 bulan.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu akan menjalani ujian perubatan, hari ini dan sudah bersetuju dengan semua terma peribadi.

United mahu Onana berada dalam skuad secepat mungkin dan mula memproses visa bagi membolehkannya menyertai latihan jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS).

Jika Onana tidak sempat berlepas bersama United, esok, dia akan menyertai mereka pada hujung minggu ini.

United yang menentang Lyon di Edinburgh, malam ini, akan bertemu Arsenal di New Jersey pada Sabtu ini dan Onana berpeluang membuat penampilan sulungnya.

Bekas penjaga gol Ajax itu akan kembali bersama pengurus, Erik ten Hag di Old Trafford selepas menghabiskan empat tahun setengah di Amsterdam.

Ten Hag mahukannya sebagai penjaga gol utama bagi menggantikan David de Gea kerana dia mahu menggunakan penjaga gol yang selesa beraksi dengan bola di kakinya.

Onana dianggap pakar dalam aspek itu dan memiliki reputasi sebagai penjaga gol 'sweeper' yang gemar ke luar dari kotak penalti untuk menyambung permainan.

Dia menjadi pemain baru kedua United pada musim panas ini selepas perpindahan Mason Mount dari Chelsea bernilai £60 juta (RM356.24 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 10:33 PM