GUNDOGAN bersama ahli keluarganya diperkenalkan kepada penyokong Barcelona, hari ini. FOTO REUTERS
GUNDOGAN bersama ahli keluarganya diperkenalkan kepada penyokong Barcelona, hari ini. FOTO REUTERS
Reuters

Barcelona: Pemain tengah baharu Barcelona, Ilkay Gundogan berkata, keputusan mudah menyertai kelab gergasi Sepanyol itu dibuat kerana dia menjangka akan menjadi mentor kepada skuad remaja.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 32 tahun itu diperkenalkan di pusat latihan Barcelona, hari ini, selepas menandatangani kontrak selama dua tahun selepas perpindahan percuma dari Manchester City.

Dia mengetuai kelab Inggeris itu merangkul treble iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim lalu, sekali gus menamatkan tujuh tahun yang cemerlang di England apabila dia memenangi 12 trofi utama.

Ketika ditanya mengenai bakat dan pemain remaja Barcelona terutama di bahagian tengah, Gundogan berkata, dia mampu menawarkan banyak perkara kepada pasukan berdasarkan pengalamannya.

"Mereka menakjubkan, Gavi, Pedri, Luuk De Jong. Saya datang ke sini dengan lebih kerana hidup serta karier saya bukan mudah dan saya fikir pengalaman itu akan banyak membantu," kata Gundogan pada sidang media.

"Mereka adalah kumpulan pemain muda berbakat yang mampu melakukan lebih baik lagi berbanding saya. Jika saya mampu menambah satu lagi peratus, saya akan sangat gembira.

"Walaupun lebih tua, saya lebih bersedia menghadapi cabaran dan masih banyak yang perlu dibuktikan."

Selepas bekerja di bawah bekas pengurus Barca, Pep Guardiola di City, Gundogan menjangkakan peralihan yang mudah dalam hidupnya bersama juara LaLiga itu dengan pengurus, Xavi Hernandez.

"Gaya permainan hampir sama dengan apa yang saya buat di City," katanya.

"Guardiola dan Xavi hampir sama. Saya dapat merasakan kaitan dengan Xavi sejak kali pertama kami bercakap. Apabila bercakap dengannya, saya tahu kami berada di landasan yang tepat."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 9:40 PM