AKSI  Arif Aiman menembusi gawang Selangor FC. FOTO Bernama
AKSI Arif Aiman menembusi gawang Selangor FC. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah bergaya ke final Piala FA selepas mudah meratah Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Esteban Solari akan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini.

Pada pertembungan berintensiti tinggi itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaikan `termakan' perang psikologi JDT apabila terpaksa bekerja keras mengekang asakan bertubi-tubi barisan serangan skuad Harimau Selatan yang begitu ketara menguasai permainan.

Menerusi percubaan awal di minit ketujuh Leandro Velazquez terlepas peluang apabila gagal merembat bola tepat ke gawang walaupun berada di dalam kotak penalti selepas menerima bola umpanan Fernando Forestieri.

Walaupun Selangor FC sering diasak namun peluang pada minit ke-18 hampir memerangkap penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang terpaksa menepis bola keluar hasil sepakan lencong Aryon Rodriguez.

Serang balas skuad Harimau Selatan pada minit ke-20 membuahkan hasil selepas bola umpanan Forestieri membuka ruang buat Arif Aiman Hanapi yang berjaya melepasi kawalan Quentin Cheng sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Khairul Azhan.

Arif Aiman mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-33 berpunca daripada umpanan Velazquez selepas memperdaya tiga pertahanan Selangor FC sebelum merembat kencang ke penjuru kanan menewaskan Khairul Azhan.

Pemain muda itu melengkapkan hatrik pada minit ke-38 selepas dia yang mendapat hantaran Forestieri menyungkit bola menewaskan Khairul Azhan untuk meletakkan JDT selesa di depan dengan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol keempat apabila pada minit ke-47 berpunca daripada bola tandukan Diogo Luis Santo menyaksikan Forestieri bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola tepat ke penjuru kiri.

Selangor FC terlepas peluang mencipta sekurang-kurangnya satu gol pada minit ke-67 apabila gerakan pemain gantian Brendan Gan membuka ruang buat Faisal Halim yang mengelirukan Jordi Amat dan Shane Lowry tapi Ahmad Syihan bersedia menampan bola bagi mengelak gawang dibolosi.

Tuan rumah kemudiannya tampak mengendurkan asakan dan kedudukan 4-0 sudah cukup menceriakan lebih 32,000 penyokong yang hadir menyaksikan JDT ke pentas final untuk musim kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 11:14 PM