INZAGHI (baju putih) mengendalikan sesi latihan Inter sebelum berdepan Man City di final UCL di Istanbul, awal pagi Ahad ini. FOTO REUTERS
INZAGHI (baju putih) mengendalikan sesi latihan Inter sebelum berdepan Man City di final UCL di Istanbul, awal pagi Ahad ini. FOTO REUTERS
AFP

Appiano Gentile, Itali: Simone Inzaghi berkata, Inter Milan tidak takut kepada Manchester City ketika dia menyiapkan pasukan untuk final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang kelab kaya yang memburu gelaran treble itu.

Inter akan tampil di Istanbul untuk final UCL pertama sejak kali terakhir memenangi kejohanan itu 13 tahun lalu dan City jelas pilihan utama untuk dinobatkan sebagai juara Eropah buat kali pertama.

City yang dikemudi Pep Guardiola mara ke final UCL kali kedua dalam tempoh tiga tahun pada perlawanan awal pagi Ahad ini selepas menewaskan Real Madrid di separuh akhir, selain merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

"Kami bercakap mengenai perlawanan bola sepak dan tiada rasa takut," kata Inzaghi.

"Kami menghormati mereka, tetapi kami bangga dapat bermain di final kerana sentiasa dahagakan kejayaan."

Inter perlu menyekat jentera serangan berbisa City yang diketuai Erling Haaland yang menjaringkan 12 gol di Eropah musim ini dan akan mendahului senarai penjaring kejohanan tidak kira apa saja keputusan final nanti.

Alessandro Bastoni antara tiga bek tengah Inter yang akan ditugaskan untuk mengawal Haaland dan dia mengakui tidak kisah dengan prospek cabaran hebat bakal dilalui untuk menyekat penyerang berbisa Norway itu.

"Anda takut kepada pembunuh, bukannya takut kepada pemain bola sepak. Adalah satu kesilapan sekiranya bercakap mengenai rasa takut dan bimbang," katanya.

"Ia bukan mengenai Haaland menentang Inter, tetapi ia adalah Manchester City menentang Inter.

"Tiada rasa takut, cuma tahap sebenar tekanan. Apapun, kegembiraan dan keinginan mengatasi segala-galanya dan saya tidak sabar untuk turun beraksi di final."

Inzaghi berkata, dia belum membuat keputusan mengenai siapa bakal digandingkan dengan Lautaro Martinez di bahagian serangan Inter sama ada penyerang veteran, Edin Dzeko atau Romelu Lukaku.

Penyerang Belgium, Lukaku kembali menemui sentuhan berbisa sejak April lalu dan sekali lagi memainkan peranan penting sama seperti ketika membantu pasukan itu memenangi gelaran Serie A dan hati peminat Inter, dua tahun lalu.

Lukaku menjaringkan tujuh gol dan mengumpan lima gol dalam 11 perlawanan terakhirnya, sekali gus memungkinkannya berada dalam kesebelasan utama Inter di Istanbul, walaupun Dzeko yang juga bekas penyerang City, biasanya menjadi pilihan Inzaghi.

"Saya belum membuat keputusan di bahagian serangan, tengah atau benteng pertahanan kerana buat masa ini dan sama seperti dua bulan lalu, saya memiliki banyak pilihan. Itu perkara terbaik buat seorang jurulatih," kata Inzaghi.

"Kami ada empat lagi sesi latihan sebelum ke Istanbul...saya ada masa sehingga saat akhir untuk membuat pilihan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 9:02 AM