Hamidin (kiri) anggap cadangan Syed Saddiq mampu dilaksanakan. FOTO NSTP
Hamidin (kiri) anggap cadangan Syed Saddiq mampu dilaksanakan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengumpulkan pemain muda terbaik seluruh dunia bagi menjalani latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) seperti mana yang dilakukan oleh Akademi Aspire di Qatar.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau melihat pandangan Syed Saddiq itu mampu dilaksanakan seiring dengan pengenalan F:30 yang juga pelan hala tuju bola sepak negara.

Begitupun, perkara itu harus diteliti sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak dengan beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri Sukan itu.

"Ia satu pandangan yang jauh dan tinggi. Kita perlu memastikan AMD juga berada pada tahap fasiliti yang kita hendakkan.

"Itu satu niat yang baik dan kita akan tengok kerana selain daripada kerjasama dengan Akademi Aspire, AMD juga perlu disediakan kemudahan yang terkini macam di sana.

"Apabila pemain ini dikumpulkan daripada seluruh tempat dan apabila prestasi baik pemain akan dinaturalisasikan ia cukup baik. Tapi itu untuk jangka panjang," katanya ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM & Pelancaran Trofi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) di Petaling Jaya, hari ini.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Syed Saddiq mahu Malaysia mencontohi Qatar dalam membangunkan bola sepak sehingga menjadi juara Asia.

Jelasnya, beliau berhasrat untuk meniru formula Akademi Aspire yang berjaya melahirkan pemain berkualiti yang kini menjadi tonggak utama kepada kejayaan skuad kebangsaan Qatar yang menjuarai Piala Asia menewaskan Jepun dalam aksi final 3-1 pada Februari lalu.

Akademi Aspire diiktiraf sebagai salah satu yang terbaik di dunia dalam aspek mengesan dan memilih bakat selain pemain itu perlu menjalani latihan, pertandingan dan penilaian yang ketat. Mereka membangunkan pemain seawal usia 6 hingga 11 tahun dari serata dunia termasuk pemain tempatan Qatar sendiri.

Sementara itu, saingan MPFL bakal membuka tirainya pada 22 Jun depan membabitkan sembilan pasukan futsal lelaki dan empat pasukan futsal wanita yang dilangsungkan secara timbal balik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:53 PM