ZII Jia ketika sesi latihan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022. FOTO Aswadi Alias
ZII Jia ketika sesi latihan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun sudah dipilih untuk mewakili negara dan beraksi di laman sendiri Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tidak mahu ada dalam kalangan pemain skuad lelaki negara hanya bertindak sebagai 'penumpang' di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Menurutnya, walaupun mengharapkan satu mata wajib menerusi perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, beliau tidak mahu pasukan Malaysia terlalu bergantung kepada juara kejohanan Seluruh England itu.

"Saya menggesa serta menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain-pemain lain untuk turut menyumbang mata bagi memastikan pasukan negara mencatat kemenangan berharga," katanya.

Skuad badminton lelaki negara akan memulakan saingan pada edisi kali ini dengan menentang Singapura dalam saingan Kumpulan B yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam esok.

"Kita akan cuba untuk menang dalam setiap perlwanan nanti, tidak kira siapakah lawan yang ditemui nanti. Apa yang pasti, kita akan cuba siapkan satu pasukan yang mampu catat kemenangan.

"Ini adalah kejohanan berpasukan, jadi kita tidak boleh harapkan seorang pemain sahaja kerana kita perlukan sekurang-kurangnya tiga mata untuk menang. Oleh itu, semua pemain perlu mainkan peranan masing-masing," katanya.

Ujar Choong Hann beliau percaya Singapura pastinya turun dengan semangat cukup tinggi apabila diketuai perseorangan lelaki utama, Loh Kean Yew yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan dunia 2021 Disember lalu.

"Kean Yew adalah pemain yang handal dan perlu dihormati tetapi kita datang ke sini untuk pertandingan, jadi kita lawan sahaja. Mereka (Singapura) ada peningkatan tetapi saya percaya kita mampu untuk menang," ujarnya.

Dalam pada itu, Choong Hann yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara memberi jaminan barisan kejurulatihan akan memberikan khidmat terbaik buat pemain-pemain negara bagi memastikan Malaysia mencapai keputusan positif.

Skuad badminton lelaki negara meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan separuh akhir pada BATC bagi memastikan Malaysia layak ke saingan Piala Thomas 2022 Mei depan secara merit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 2:00 PM