MAGUIRE semakin tersisih di United. FOTO AFP
MAGUIRE semakin tersisih di United. FOTO AFP
Agensi

London: Bekas penyerang Liga Perdana Inggeris (EPL), Darren Bent menggesa Harry Maguire meninggalkan Manchester United.

Maguire dijangka meninggalkan United pada penghujung musim selepas kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama Red Devils berikutan ketibaan Lisandro Martinez.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu perlu meningkatkan prestasinya dengan United untuk bersaing merebut tempat beraksi di Liga Europa, Piala FA dan di Liga Perdana.

Apabila Maguire beraksi, dia tidak terlalu meyakinkan tetapi mungkin tetap menarik banyak pihak untuk mendapatkannya pada musim panas ini.

Ditandatangani sekitar £80 juta (RM437 juta) dari Leicester City, Maguire dilihat tidak memenuhi tanda harganya yang tinggi.

Bent yang juga bekas penyerang Tottenham dan Aston Villa percaya sudah tiba masanya untuk Maguire meninggalkan United dengan Leicester dilaporkan bersedia mendapatkannya semula.

"Saya rasa (Maguire) perlu pergi dan meninggalkan Manchester United pada musim panas.

"Apa yang saya hendak katakan ini mungkin agak kasar tetapi dia adalah pembelian terburuk dalam sejarah Liga Perdana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 9:31 PM