TEONG Kim sering mengundang perhatian penyokong bola sepak tanah air. FOTO MIKAIL ONG
TEONG Kim sering mengundang perhatian penyokong bola sepak tanah air. FOTO MIKAIL ONG
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak mahu 'banyak bunyi' mengenai perbuatan dan keupayaan pengendali Perak FC Datuk Lim Teong Kim.

Hal ini kerana, sebelum ini Tunku Ismail sudah 'berbunyi' mengenai perkara terbabit namun jurulatih terbabit tetap disanjung oleh peminat bola sepak tempatan.

"Benda itu dari dulu lagi saya sudah cakap pasal benda ni, tapi ketika itu ramai yang sanjung dia. Jadi saya tak nak cakap banyak pasal benda itu," katanya dalam temubual bersama Tunku Ismail yang disiarkan di laman Facebook JDT.

Mengikut rekod, kelibat Teong Kim sejak mengendalikan skuad Bos Gaurus sering mengundang perhatian penyokong bola sepak tanah air dengan terbaharu adalah insiden membabitkan beliau dan pemain JDT yang menyaksikan pasukannya tewas 0-5 dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.

Selepas tujuh perlawanan, Teong Kim hanya mampu memberi satu kemenangan, dua seri dan selebihnya Perak FC hanya merekodkan kekalahan.

Teong Kim dan Tunku Ismail sebelum ini pernah berbalas komen selepas pemilik JDT itu mendedahkan gaji yang tinggi diperlukan untuk mengupah bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich terbabit.

Selain itu, Tunku Ismail berkata, beliau pernah suarakan mengenai bola sepak tanah air sebelum ini namun yang menyedihkan apabila ideanya dipandang remeh.

"Banyak benda saya cakap bola sepak tanah air sebelum ini tapi sering dipandang remeh, tapi hari Ini baru terhegeh-hegeh benda semua berlaku, padang, padang latihan, nilai komersial dan seterusnya.

"Tetapi ialah orang yang membenci ini apa benda baik kita buat pun mereka akan sentiasa pandang benda itu dari sudut negatif, tapi benda itu adalah normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 1:53 PM