KEANE (kanan) merembat masuk gol penyamaan untuk Everton ketika seri 1-1 dengan Spurs. FOTO Reuters
KEANE (kanan) merembat masuk gol penyamaan untuk Everton ketika seri 1-1 dengan Spurs. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Jaringan penyamaan minit ke-90 oleh Michael Keane menjejaskan misi Tottenham mencabar kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tugasan pertama Cristian Stellini sebagai pengendali Spurs berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Everton, awal pagi tadi.

Penalti Harry Kane membuka laluan untuk Tottenham melonjak ke tangga ketiga selepas Abdoulaye Doucoure dibuang padang kerana mengasari muka penyerang Spurs itu.

Dua minit sebelum tamat, Spurs pula kehilangan pemainnya apabila Lucas Moura dilayangkan kad merah, diikuti jaringan penyamaan Keane yang menyelamatkan Everton dari zon penyingkiran.

Satu mata sudah mencukupi buat skuad kendalian Sean Dyche untuk melonjak ke tangga ke-15.

Tottenham kini berada di tangga keempat, menyamai kutipan mata Newcastle di tangga ketiga dan Manchester United di tangga kelima dengan 50 mata, tetapi bermain lebih dua perlawanan berbanding kedua-dua pesaingnya itu.

"Selepas kad merah, mereka lebih agresif berbanding kami. Kami perlu menjadi pasukan yang bermain dengan cara sama di tempat sendiri dan lawan," kata Stellini selepas Spurs gagal menang di tempat lawan untuk enam perlawanan berturut-turut.

Stellini mengambil alih pasukan buat pertama kali selepas Antonio Conte dipecat.

Nasib Conte diputuskan selepas Tottenham dibolosi dua kali pada lewat permainan untuk seri 3-3 bertemu pasukan tercorot, Southampton, selepas mereka pada awalnya mendahului 3-1.

Bagaimanapun harapan untuk permulaan baik di bawah Stellini tidak kesampaian apabila sekali lagi seri bertemu lawan yang bergelut dengan zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 8:13 AM