RAMADHAN (dua dari kanan) dilayangkan kad merah selepas mengasari Mintah. FOTO GHAZALI KORI
RAMADHAN (dua dari kanan) dilayangkan kad merah selepas mengasari Mintah. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketiadaan penjaga gol utama, Mohamad Ramadhan Ab Hamid tidak menggusarkan PDRM FC apabila skuad Sang Saka Biru itu bakal melayani kunjungan Kelantan United FC (KUFC) pada aksi kelima saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang Sabtu ini.

Pengendalinya, Azzmi Ab Aziz berkata, hal ini kerana penjaga gol berpengalaman, Willfred Jabun mampu menggalas tugasan yang ditinggalkan pemain kelahiran Kelantan itu sebagaimana aksinya ketika menjadi pemain gantian menentang Terengganu FC (TFC) minggu lalu.

Pada aksi keempat liga bertemu TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu lalu, Mohamad Ramadhan dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang skuad Penyu, Jordan Mintah pada masa kecederaan babak pertama.

"Ketiadaan Ramadhan tidak begitu menggusarkan kami kerana penjaga gol berpengalaman kelahiran Sarawak, Willfred mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain itu.

"Lagipun pemain itu (Willfred) sudah membuktikan aksi terbaiknya apabila menggantikan Ramadhan sepanjang babak kedua perlawanan ketika berdepan dengan TFC selepas hanya melepaskan satu jaringan ketika kami beraksi dengan sepuluh pemain.

"Jadi pemain berusia 34 tahun itu menjadi pilihan terbaik kami untuk mengisi posisi berkenaan berdepan dengan skuad kendalian Tomas Trucha itu di tempat sendiri nanti," kata jurulatih berusia 47 tahun itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, bekas pemain skuad kebangsaan itu akui pemainnya kini berada pada tahap terbaik dan begitu positif untuk berdepan dengan skuad Kijang Hijau itu walaupun gagal meraih sebarang mata pada aksi keempat sebelum ini.

Katanya, beliau tidak rela 'berputih mata' buat kali kedua berturut-turut selepas tumpas 1-0 ketika berdepan dengan TFC walaupun berpeluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan itu.

"Motivasi pemain kami berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kecederaan, kita sasarkan tiga mata selain mengharapkan tonggak import mampu beraksi dengan lebih baik lagi.

"Kita juga pesan kepada pemain supaya berhati-hati dengan cabaran lawan yang mempunyai ramai pemain berpengalaman dan berkualiti, yang penting pemain harus tingkatkan persembahan dan kombinasi terbaik untuk memburu jaringan dan seterusnya melakar kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 11:26 AM