AKSI antara Perak dan Sri Pahang malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Perak dan Sri Pahang malam tadi. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji semangat juang yang dipersembahkan anak buahnya selepas menewaskan Perak FC pada perlawanan pusingan pertama Piala FA, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan skuad Tok Gajah melangkah ke pusingan kedua piala berprestij itu.

Bagi Fandi, kebangkitan yang dipersembahkan anak buahnya terutama pada babak kedua membantu kejayaan skuad itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Sri Pahang tidak tewas dalam empat perlawanan, termasuk pada perlawanan ini (malam tadi).

"Saya bangga dengan semua pemain yang bangkit selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama.

"Mereka tidak putus asa dan memiliki semangat yang kuat untuk memastikan Sri Pahang layak ke pusingan kedua.

"Kemenangan ini rezeki buat Sri Pahang kerana saya menjangkakan perlawanan akan diheret ke masa tambahan," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh malam tadi, Sri Pahang ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama hasil jaringan pemain import tuan rumah, Christian Obiozor pada minit ke-34.

Namun, pemain Tok Gajah melakukan kebangkitan apabila menjaringkan dua gol menerusi Abdul Malik Mat Ariff minit ke-82 dan Stefeno Brundo pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Fandi itu akan berdepan juara terbanyak Piala FA, Selangor FC pada pusingan kedua, April depan.

Mengulas persembahan keseluruhan skuad itu, Fandi berkata, pemainnya gagal memanfaatkan banyak peluang untuk membolosi gawang tuan rumah.

Katanya, peluang ada tetapi ketangkasan penjaga gol Perak, Tian Keat See menafikan jaringan berkenaan.

"Oleh saya harap semua pemain dapat mengekalkan prestasi untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 10:16 AM