TOMMY (kiri) dan pembantunya, Badrul Afzan Razali. FOTO Ihsan TFC
TOMMY (kiri) dan pembantunya, Badrul Afzan Razali. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertembungan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi  Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada malam ini dijangka sengit dan menarik.

Pertemuan juara dan naib juara Liga Super musim lalu itu juga bagaikan perlawanan ulangan pentas akhir Piala FA musim lalu yang memihak kepada JDT hasil kemenangan 3-1.

Biarpun atas kertas penggiat bola sepak negara pastinya memilih gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu untuk merangkul kejuaraan keenamnya trofi itu, namun 'wajah baharu' yang bakal ditampilkan gergasi Pantai Timur itu tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kehadiran enam pemain import baharu ditambah sentuhan pengendali kelahiran Croatia, Tomislav Steinbrukner pastinya bakal menghadirkan persembahan dan formasi yang berbeza daripada skuad Penyu.

Kelibat penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn yang membantu negaranya muncul juara Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada Januari lalu pastinya bakal menjadi 'senjata' utama skuad Penyu untuk membaham Harimau Selatan itu begitu juga penyerang tinggi lampai kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang melaungkan keazaman untuk mencipta sejarah manis buat pasukan baharunya itu.

Biarpun ujian pertama jurulatih baharu TFC ini tampak berliku apabila empat tonggaknya tidak dapat diturunkan bermula dengan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon yang mengalami kecederaan, Faiz Nasir masalah kesihatan, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi berstatus pemain pinjaman JDT dan terbaharu Omid Nazari yang baharu 'dirantai' semalam, ia tidak menyebabkan Steinbrukner yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' gusar.

Sebaliknya beliau tidak gentar untuk berdepan dengan skuad terbaik Liga M itu kerana pemain lain boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan empat pemain tonggaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 1:25 PM