HAMIDIN sedia bawa suara bola sepak Malaysia, Asean dan Asia ke Fifa.
HAMIDIN sedia bawa suara bola sepak Malaysia, Asean dan Asia ke Fifa.
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


Petaling Jaya: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bukanlah 'bala' atau akan mendatangkan masalah besar buat dirinya.

Sebaliknya, Hamidin berkata, kerusi sebagai Ahli Majlis Fifa adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi meningkatkan lagi mutu serta kualiti bola sepak rantau ini.

Katanya, beliau tidak gentar apabila diberikan tanggungjawab itu, malah akan berikan yang terbaik membawa 'suara' bola sepak tempatan, Asean dan Asia supaya lebih didengari di peringkat Fifa.

"Pergi ke sana (Fifa) dan dapat jawatan serta tugas dengan sebaik mungkin kerana apa pun saya tak takut…yang saya takut cuma Allah S.W.T.

"Saya datang ke tempat ini (Fifa) pun dengan izinNya.. Jadi maksudnya saya kena kerja lebih kuat lagi untuk bawa suara FAM, Asean dan Asia ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sesi temubual ekslusif bersama Arena Metro, hari ini.

Baru-baru ini, Hamidin terus mendapat perhatian penyokong bola sepak tanah air apabila dipilih sebagai Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023-2027.

Hamidin mendapat 30 undian, sekali gus membolehkan beliau mengisi lima kerusi ahli majlis badan induk bola sepak antarabangsa itu daripada tujuh calon bertanding.

Selain menjawat jawatan sebagai Presiden FAM, Hamidin turut diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Di peringkat Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), beliau turut diberikan peranan sebagai Ahli Majlis badan induk bola sepak Asean terbabit bermula hujung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:06 PM