PEMAIN JDT Bergson Silva (kiri) meraikan jaringan bersama Arif Aiman Mohd Hanapi ketika menentang pasukan Sabah FC pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, 20 November lalu. FOTO Bernama
PEMAIN JDT Bergson Silva (kiri) meraikan jaringan bersama Arif Aiman Mohd Hanapi ketika menentang pasukan Sabah FC pada perlawanan Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, 20 November lalu. FOTO Bernama
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Prestasi konsisten sepanjang musim menjadi kelebihan kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan berhadapan Selangor FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Diatas kertas skuad bimbingan Hector Bidoglio yang membariskan ramai pemain berstatus bintang tempatan dan import dilihat sukar untuk digugat lawan yang kelihatan lambat panas musim ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu, JDT mempunyai kelebihan untuk tampil menjulang Piala Malaysia musim ini.

"Kelebihan ketara milik JDT yang tidak ada pada pasukan lain ialah skuad berkenaan lengkap dengan pemain berkualiti di semua posisi, barisan pemain mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

"Bermula daripada posisi penjaga gol hingga ke jentera serangan, pemain JDT tampil dengan kebolehan tinggi yang mampu menjinakan lawan," katanya, di sini hari ini.

Bagaimanapun Jamal Nasir menegaskan, walaupun memiliki kelebihan pemain JDT tidak seharusnya terlalu yakin dapat menewaskan lawan kerana ia boleh memakan diri sendiri.

Katanya, sebagai contoh musim lalu JDT yang diramal menjulang Piala Malaysia namun berlaku sebaliknya apabila mereka tewas 0-2 kepada pasukan KL City FC yang berstatus kelab.

"Bagi mengelak episod sama berulang pemain JDT perlu membuang rasa ego mereka sepanjang 90 minit permainan, pemain turun ke padang dengan corak permainan terbaik yang pernah mereka pamirkan sebelum ini.

"Elak melakukan terlalu banyak kesilapan dan ikut arahan jurulatih sepanjang perlawanan yang dijangka sengit," katanya.

Bagi pasukan Selangor FC, Jamal Nasir berkata walaupun kurang menyerlah pada sainga Liga Super namun pasukan bimbingan bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe itu tampil bangkit pada kempen Piala Malaysia.

Katanya, pasukan Selangor mampu bangkit sekiranya JDT leka dan gagal menghasilkan jaringan, pemain skuad berkenaan mampu melakukan sesuatu sekiranya peluang terhidang.

"Saya percaya Cheng Hoe yang berpengalam luas di pentas kebangsaan dan antarabangsa mempunyai formula terbaik dalam usaha mereka menjulang Piala Malaysia yang pernah mereka unguli sebelum ini.

"Saya percaya pasukan yang banyak melakukan kesilapan pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini akan tumpas disebabkan kesilapan sendiri," katanya yang berharap aksi perlawanan Piala Malaysia dapat menghiburkan peminat bola sepat tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 2:22 PM