Pemain Pahang menjalani latihan persiapan bertemu JDT pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Pemain Pahang menjalani latihan persiapan bertemu JDT pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Menjulang kejuaraan menjadi impian utama buat pasukan Pahang Rangers yang berhadapan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final Piala Futsal Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor Ahad ini.

Selaku juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023, misi mencatat kejuaraan berganda digalas skuad bimbingan jurulatih Gerard Casas yang berjaya meniti musim dengan penuh bergaya.

Menurut Casas, imej selaku juara liga tidak bermakna Pahang Rangers mudah menjulang kejuaraan Piala Futsal Malaysia musim ini terutama apabila berhadapan dengan pendatang baharu (JDT) yang memiliki kelebihan tersendiri.

Katanya, peluang kedua pasukan untuk mencatat kemenangan dilihat begitu seimbang, pasukan yang banyak melakukan kesilapan yang boleh menghasilkan jaringan pastinya akan berputih mata.

"Bagaimanapun, sebagai jurulatih saya melihat kelebihan untuk mencatat kemenangan berpihak pada pasukan Pahang Rangers, pengalaman luas pemain import dan tempatan adalah senjata utama kita sepanjang musim ini.

"Rekod pertemuan Pahang Rangers dengan JDT di peringkat liga, kita menewaskan skuad Harimau Selatan 7-3 di tempat sendiri sebelum tewas tipis 2-3 di gelanggang lawan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, aksi perlawanan di peringkat liga tidak sama dengan pertemuan akhir. Rentak serta corak permainan pastinya lebih rancak dan pasti dalam usaha menghasilkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 12:58 PM