VINICIUS tidak sabar mengurangkan tekanan Neymar. FOTO Agensi
VINICIUS tidak sabar mengurangkan tekanan Neymar. FOTO Agensi
Reuters

Turin: Vinicius Jr ialah simbol generasi baharu Brazil yang berbakat memuncak pada saat yang tepat apabila mereka tiba di Qatar sebagai pilihan untuk menjulang Piala Dunia keenam.

Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan gol kemenangan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool dan menduduki tempat kelapan dalam undian Ballon D'Or bulan lalu.

Ia membolehkannya menjadi antara pemain bertaraf dunia pada musim kelimanya bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Dia berkata tidak sabar untuk mengurangkan tekanan terhadap penyerang Brazil, Neymar, 30, yang membawa harapan negara hampir seorang diri sepanjang karier antarabangsanya.

"Neymar melalui banyak perkara sebagai pemain muda, terpaksa bermain pada usia muda dan dengan banyak tekanan. Jadi dia adalah orang yang memastikan hari ini bahawa segala-galanya lebih mudah untuk generasi baharu.

"Ia bagaikan impian kerana kami membesar dengan menjadikannya idola. Amat penting apa yang dia lakukan sebagai seorang pemimpin. Dia tahu bahawa dengan membantu kami, kami juga boleh membantunya, beraksi hebat di Piala Dunia," kata Vinicius.

Bercakap dengan lebih tenang dan matang selama bertahun-tahun, Vinicius mengalu-alukan tekanan yang datang dengan tanggungjawab untuk menjadi wajah generasi baharu Brazil.

"Saya banyak mendengar. Saya suka belajar daripada pemain yang lebih berpengalaman seperti Karim (Benzema) dan Neymar,

"Ia membantu saya bermain untuk Real Madrid dan Brazil. Kerana saya boleh belajar daripada semua pemain hebat yang memenangi begitu banyak trofi dalam karier mereka, " kata Vinicius.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 1:50 PM