KHYRIL pertimbang mahu bersara. FOTO Aswadi Alias
KHYRIL pertimbang mahu bersara. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas 17 tahun menabur bakti dalam arena bola sepak negara, penyerang Petaling Jaya City (PJ City) Khyril Muhymeen Zambri mempertimbangkan kemungkinan menggantung 'but' berikutan pasukannya secara rasmi tidak lagi bersaing dalam Liga Super musim depan.

Mengakui cukup kecewa dengan keputusan kelabnya itu, Khyril berkata, keputusan PJ City untuk tidak lagi bertanding pada musim depan sudah diketahui pada perlawanan terakhir membabitkan pasukan terbabit sekali gus memberi peluang dan ruang kepada pemain untuk mencari majikan baharu.

Bekas pemain Selangor itu berkata, ketika ini dia mahu berehat terlebih dahulu sambil menunggu tawaran daripada pasukan lain atau kemungkinan bersara sebagai pemain profesional dan menumpukan bidang kepada bidang tertentu kelak.

"Ketika ini saya belum lagi memikirkan pasukan yang akan beraksi pada musim depan malah tidak menerima apa-apa tawaran secara rasmi daripada kelab lain.

"Saya tengok pada keadaan dengan kemungkinan akan bersara sebagai pemain profesional seterusnya berkecimpung dalam bidang lain.

"Satu perkara yang penyokong bola sepak perlu tahu adalah sepanjang saya beraksi dengan PJ City tidak pernah mengalami masalah tunggakan gaji.

"Malah, pemain tempatan diberikan peluang dan ruang untuk beraksi dalam pasukan kerana tidak mempunyai awang import yang mendominasi barisan utama,"katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Pengendali PJ City P Maniam mengakui beliau dan pemain kecewa dengan keputusan yang dibuat pihak pengurusan pasukan.

Namun, beliau berterima kasih kepada pihak pengurusan yang banyak beri sokongan dan beri peluang kepada dirinya dan pemain dalam tempoh dua tahun ini.

"Saya sangat kecewa bukan sebagai jurulatih sahaja tetapi juga untuk pemain juga kerana PJ City menjadi platform untuk pemain tempatan dapat bermain dalam kesebelasan utama selain mereka juga menunjukkan satu corak permainan yang cukup bagus.

"Walaupun tanpa pemain import kami masih mampu untuk kutip 26 mata berbanding musim lalu 34 mata. Saya terima kasih kepada pihak pengurusan kerana bagi peluang dekat kami untuk bersaing dalam Liga Super," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan, saingan Liga Super 2023 boleh dikatakan hilang seri apabila PJ City sah tidak akan bertanding pada musim depan.

Situasi terbabit disahkan presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal sambil menjelaskan punca utama menarik diri bukanlah disebabkan masalah kewangan namun sebenarnya tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan struktur liga yang diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 3:25 PM