KANE menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. FOTO EPA
KANE menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. FOTO EPA
AFP

London: Harry Kane merembat masuk menerusi sepakan penalti untuk mengukuhkan kedudukan Tottenham memburu kejuaraan Liga Perdana ketika menewaskan Everton 2-0, awal pagi tadi.

Kapten skuad kebangsaan England itu memecah kebuntuan pada minit ke-59 sebelum Pierre-Emile Hojbjerg mengukuhkan kedudukan lewat permainan untuk Spurs yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

Segala-galanya berubah selepas hampir satu jam perlawanan apabila pengadil, Paul Tierney memutuskan Kane dijatuhkan oleh penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Kane kemudian merembat ke sudut kiri bawah untuk gol kesembilannya di Liga Perdana setakat ini.

Hojbjerg melengkapkan kemenangan 2-0 pada minit ke-86 sekali gus menyaksikan lawan yang dibimbing Frank Lampard mengalami kekalahan liga kali kedua berturut-turut.

Skuad bimbingan Antonio Conte kini sudah memenangi kesemua tujuh perlawanan di tempat sendiri pada musim ini.

"Di sebalik berdepan kesukaran berdepan lawan yang bagus serta masalah kecederan yang dialami, kami dapat menyelesaikan segala situasi itu.

"Ini bermakna pemain semakin meningkat dalam banyak aspek. Saya sangat berbangga dengan pemain," kata Conte yang menyaksikan Richarlison mengalami kecederaan betis ketika kedudukan 0-0.

Conte berharap bintang Brazil itu tidak akan diketepikan untuk tempoh yang lama.

"Dia akan menjalani ujian imbasan MRI, kami berharap ia tidak serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 7:20 AM