AKSI antara Selangor FC bertemu Sarawak United sebelum ini. FOTO Selangor FC
AKSI antara Selangor FC bertemu Sarawak United sebelum ini. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jentera serangan Selangor FC diharapkan tampil lebih 'berbisa' pada aksi terakhir Liga Super musim ini apabila dijadual berkunjung ke Stadium Bandaraya bagi menghadapi Penang FC, malam esok.

Harapan itu diluahkan selepas melihat skuad Red Giants terpaksa menunggu gol hingga di babak kedua dalam dua perlawanan sebelum ini yang mungkin boleh memerangkap pasukan daripada mencapai kemenangan.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe berkata, pasukannya beraksi baik dalam perlawanan terdahulu namun kegagalan menterjemahkan peluang kepada bentuk jaringan menyebabkan skuad kendaliannya terpaksa menunggu hingga ke babak kedua.

"Saya rasa secara keseluruhan pasukan bermain dengan baik, kita juga cipta beberapa peluang bukan saja di babak kedua tetapi dalam babak pertama juga.

"Kita dapat satu hingga dua peluang tetapi kita tidak dapat memanfaatkan peluang itu. Sudah tentu babak kedua kita dapat jaringan gol, salah satu mungkin strategi kita memasukkan pemain simpanan yang beri impak terbaik.

"Kita harap perlawanan terakhir nanti kita mampu mengatasi, di mana setiap peluang dihidangkan perlu diambil peluang untuk jaringkan gol," katanya.

Cheng Hoe yang dilantik sebagai jurulatih baharu Selangor pada tiga minggu lalu, membuktikan sememangnya beliau memiliki sentuhan magis apabila berjaya membawa pasukan memenangi tiga aksi dalam tiga perlawanan.

Malah, dalam tiga aksi itu juga Selangor langsung tidak dibolosi dan Cheng Hoe mahu benteng pertahanannya meneruskan rekod baik itu.

"Sejak tiga perlawanan terakhir ini barisan pertahanan bermain dengan begitu baik, dan begitu taktikal disipilin yang baik, tidak memberi ruang yang banyak untuk pasukan lawan menjaringkan gol," kata bekas pengendali kebangsaan itu.

Ujarnya lagi, kemasukan penyokong tuan rumah secara percuma yang diumumkan pengurusan Penang FC tidak akan memberi tekanan kepada pemainnya apabila dijangka venue berkenaan dipenuhi penyokong Harimau Kumbang.

"Saya rasa pemain Selangor dah biasa melalui situasi tersebut. Kebanyakan mereka pun pernah bermain di stadium yang punyai ramai penyokong dan saya rasa kita tak rasa tertekan dan anggap ia sebagai satu motivasi untuk kita menghadapi perlawanan terakhir ini.

"Saya rasa dua-dua pasukan inginkan keputusan terbaik, yang penting saya nak pemain fokus perlawanan ini sampai minit-minit terakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 12:50 PM