AIDIL Sharin mengakui rentak serangan KDA FC tidak mempamerkan kekuatan yang diharapkan. FOTO Bernama
AIDIL Sharin mengakui rentak serangan KDA FC tidak mempamerkan kekuatan yang diharapkan. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak meluahkan rasa kecewanya diatas kekalahan Sang Kenari yang berakhir dengan keputusan 0-1 kepada PJ City FC di laman sendiri semalam.

Ini lantaran persembahan pemain yang serba tidak menjadi di laman sendiri pada aksi memasuki fasa penghujung membabitkan lima perlawanan perlawanan terakhir Liga Super dan sekali gus seakan hampir pasti meranapkan peluang KDA FC untuk mencapai kedudukan tiga pasukan terbaik dalam kancah Liga Super musim ini.

"Saya ingin memohon maaf kepada seluruh penyokong Kedah diatas kekalahan malam ini (semalam) dan kami telah berbincang banyak kali sebelum perlawanan bahawa PJ City merupakan satu pasukan yang sentiasa memberi tekanan dan sangat bekerja keras diatas padang.

"Kami telah melakukan beberapa kesilapan dan jika dilihat pada perlawanan ini bermula, kami banyak kali kehilangan bola, hantaran yang kurang tepat dan kesilapan daripada jentera pertahanan kami mengakibatkan PJ City terus menekan dengan serangan balas yang cepat sehingga kami dibolosi.

"Pemain telah mencuba sedaya upaya mereka pada perlawanan ini namun pada masa yang sama mereka juga tidak memanfaatkan setiap peluang penyudah untuk mendapatkan gol dan saya menerima kekalahan ini dan saya mahu pemain tahu yang dalam bola sepak ini, kita perlukan konsistensi," kata dengan nada kecewa.

Pengendali kelahiran Singapura itu juga mengakui rentak serangan KDA FC tidak mempamerkan kekuatan yang diharapkan dan ini telah membuka ruang lebih baik untuk PJ City FC terus meningkatkan keyakinan mereka sejak dari babak pertama lagi.

"Saya rasa kami kurang ketajaman danarus serta gerakan serangan kami pula tidak berjalan dengan lancar pada perlawanan ini dan akhirnya malam ini (semalam) bukan milik kami.

"Kami tidak dapat memanfaatkan setiap peluang yang hadir sementara mereka (PJ City) mengambil peluang yang hadir dengan satu gol dan inilah bola sepak, saya harus mengakui kelemahan ini," katanya.

Tambah Aidil lagi, perlawanan selepas ini pula bakal menentang juara Liga Super 2022 Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri dan akan menjadi perlawanan yang sukar buat skuadnya jika kesilapan sebegini terus diulangi.

"Memang agak sukar untuk menyelesaikan semua masalah dalam tempoh tiga hari ini tambahan pula akan menentang JDT kerana kita tahu mereka adalah antara pasukan terbaik di Asia, tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita perlu percaya pada diri sendiri dan perlu turun beraksi dengan usaha yang terbaik.

"Sudah pasti kami mahu kembali bangkit dengan semangat juang yang tinggi selepas ini untuk berdepan JDT dan saya harap pemain dapat bangkit segera dalam tempoh tiga hari ini dan beri aksi seratus peratus nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:55 PM