AKSI antara skuad B-19 negara ketika menentang Korea Selatan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AKSI antara skuad B-19 negara ketika menentang Korea Selatan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib skuad bawah 19 tahun (B-19) negara menjadi tanda tanya apabila tewas kepada Korea Selatan 6-2 pada aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbatar, Mongolia itu menyaksikan gawang skuad kendalian Hassan Sazali Waras Selatan bocor pada minit ke-34 menerusi penyudah Lee Youngjun.

Malah, babak kedua bersambung menyaksikan gawang pasukan negara sekali dibolosi pada minit 50 selepas Bae Junho yang bijak memperdaya pemain Malaysia sebelum merembat ke penjuru kiri pintu gol untuk kedudukan 2-0.

Malaysia berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-55 menerusi Adam Farhan Faizal dengan dia menjadi pemain pertama berjaya merobek gawang Korea Selatan sepanjang kempen kelayakan kali ini.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan kira-kira seminit apabila rembatan kapten Korea Selatan, Lee Seungwon berjaya menewaskan penjaga gol, Syahmi Adib Haikal buat kali ketiga.

Tindakan Ubaidullah Shamsul yang dilihat cuba membantah keputusan penjaga garisan memberikan sepakan sudut kepada Korea Selatan pada minit ke-67 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Malaysia merapatkan jurang pada minit ke-68 menerusi Aliff Izwan Yuslan sebelum Youngjun kembali menjarakkan kedudukan buat Korea Selatan apabila meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-74.

Youngjun melengkapkan hatrik pada minit ke-81 sebelum Seungwon menyudahkan sepakan penalti ketika permainan berbaki dua minit untuk mengesahkan kemenangan bergaya Korea Selatan.

Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan mengesahkan slot ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan selaku juara Kumpulan E, manakala Malaysia yang muncul naib juara kumpulan perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat sama ada skuad negara layak atau tidak.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik dan lima naib juara terbaik dari 10 kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 2:50 PM