PEMAIN skuad B-19 negara (jersi kuning) meraikan jaringan ketika seri 1-1 dengan Mongolia. FOTO ihsan AFC
PEMAIN skuad B-19 negara (jersi kuning) meraikan jaringan ketika seri 1-1 dengan Mongolia. FOTO ihsan AFC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara terlepas peluang meraih tiga mata apabila seri 1-1 dengan Mongolia pada aksi sulung Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Bawah 20 (B-20) 2023, sebentar tadi.

Perlawanan di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia itu berlangsung dengan seimbang apabila kedua-dua pasukan sering berbalas serangan bagi mencari gol pendahuluan.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-24 selepas bola terkena tangan pertahanan negara sebelum disempurnakan Buyannemekh Ganbat untuk kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Hassan Sazali Waras melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan, namun tidak diterjemahkan dengan gol sehingga wisel penamat separuh masa ditiup.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad Harimau Muda negara tampil menyakinkan apabila lebih menguasai perlawanan.

Gol penyamaan skuad B-19 negara hadir pada minit ke-52 apabila gerakan cantik Najmudin Akmal berjaya menggelecek pertahanan lawan sebelum melorongkan bola ke Alif Izwan untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Walaupun Hassan Sazali melakukan sekurang-kurangnya tiga pertukaran pemain pada babak kedua untuk menguatkan jentera serangan, kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara perlu menang menentang Sri Lanka pada Jumaat ini sebelum menutup kempen berdepan Korea Selatan pada Ahad dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar.

Sebagai rekod, Piala Asia B-20 akan berlangsung pada Mac tahun dengan Uzbekistan akan menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini dan empat pasukan terbaik akan layak ke Piala Dunia B-20 2023 di Indonesia.

Selain 10 juara kumpulan yang layak secara automatik ke saingan Asia itu, lima naib juara terbaik berpeluang merebut tiket ke Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 7:27 PM