GONZALEZ mahu raih tiga mata pada. -FOTO Ihsan KDA FC.
GONZALEZ mahu raih tiga mata pada. -FOTO Ihsan KDA FC.
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Semangat kebangkitan tetap menyala buat skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) walaupun sekadar memungut satu mata pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman 17 Ogos lalu.

Malah keputusan seri 1-1 sewaktu menentang Sabah FC mampu menjadi bekalan semangat buat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk meneruskan usaha kebangkitan bagi memburu tiga mata penuh pada aksi menentang Penang FC pada 2 September depan.

Pemain import pertahanan KDA FC Marc Vales Gonzalez yang kembali bersama skuad Sang Kenari selepas pulih dari kecederaan sejak empat bulan lalu berkata, semangatnya selepas kembali bersama pasukan kini kian melonjak bagi membantu pasukan mendapat kemenangan.

"Kini kami berdepan masa yang sangat penting untuk meneruskan usaha kebangkitan walaupun kami mendapat satu mata ketika menentang Sabah FC pada perlawanan lalu.

"Memang kami kempunan untuk mendapatkan mata penuh disebabkan satu kesilapan namun itu sudah berlalu dan kami tidak lagi memiliki alasan selain memastikan tiga mata dapat digenggam pada aksi seterusnya bertemu Penang FC," katanya.

Gonzalez juga berharap peningkatan yang ditunjukkan oleh rakan seperjuangannya termasuk pemain tempatan dalam beberapa perlawanan lalu menggambarkan Sang Kenari terus bekerja keras dengan komitmen penuh untuk memberi saingan yang lebih tinggi.

"Saya lihat aksi pemain tempatan semakin meningkat dan semua pemain perlu bergerak ke satu arah peningkatan yang dapat mengukuhkan lagi kekuatan pasukan," katanya.

Kali terakhir KDA FC mencatat kemenangan adalah ketika menentang skuad Sarawak United kendalian S Balachandran dengan keputusan 3-1 pada 19 Julai lalu di Stadium Darul Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 1:32 PM