FOFANA menjadi sasaran Chelsea. FOTO AFP
FOFANA menjadi sasaran Chelsea. FOTO AFP
Reuters

Leicester: Pemain pertahanan Leicester City, Wesley Fofana diketepikan daripada skuad ketika tewas 1-2 kepada Southampton pada saingan Liga Perdana kerana dia tidak berada dalam 'kerangka pemikiran yang betul', kata pengurus, Brendan Rodgers selepas Chelsea dilaporkan berminat untuk membelinya.

The Guardian melaporkan bahawa Leicester sudah menolak dua bidaan daripada Chelsea untuk Fofana dan menjangkakan bidaan ketiga yang boleh mencecah 80 juta pound (RM423.6 juta) tetapi Leicester enggan melepaskan pemain Perancis itu.

Fofana, 21, sudah melakukan 37 penampilan liga untuk Leicester sejak menyertai kelab itu dari Saint Etienne pada Oktober 2020.

"Bagi Wesley, dia adalah pemain muda yang tidak berada dalam kerangka fikiran yang betul untuk bermain pada masa ini.

"Apa yang saya difahamkan, terdapat banyak perkara yang berlaku di sebalik tabir. Ia adalah saat yang sukar baginya.

"Dia seorang pemain muda yang baik dan menjadi seorang yang hebat semasa dia berada di sini.

"Anda tidak mampu beraksi bersama rakan sepasukan anda jika tidak fokus sepenuhnya," katanya.

Leicester tergelincir di tangga ke-18 liga selepas mengalami dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan pembukaan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 9:08 AM