CASEMIRO ketika menjalani sesi latihan bersama Real. FOTO AFP
CASEMIRO ketika menjalani sesi latihan bersama Real. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United mengesahkan bersetuju untuk menandatangani pemain tengah Real Madrid, Casemiro menerusi perjanjian mencecah sehingga £60 juta (RM317.6 juta).

Pengurus United, Erik ten Hag terdesak untuk mendapatkan pemain tengah sejak mengambil alih tugas di Old Trafford dan akhirnya bersetuju dengan Casemiro selepas gagal mendapatkan pemain Barcelona, ​Frenkie de Jong.

United yang bergelut dan menduduki tangga tercorot Liga Perdana selepas kekalahan memalukan menentang Brighton serta Brentford, akan melakukan bayaran awal £50 juta (RM264.7 juta).

Yuran keseluruhan akan meningkat sebanyak £10 juta (RM52.9 juta) lagi jika klausa tertentu dalam kontrak dipenuhi.

Casemiro ditawarkan kontrak empat tahun dengan pilihan lanjutan 12 bulan lagi.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Real dari Sao Paulo pada 2013 dan menjadi tonggak penting untuk gergasi Sepanyol itu sehingga memenangi lima trofi Liga Juara-Juara.

"Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kelab sudah mencapai persetujuan dengan Real Madrid untuk perpindahan Casemiro.

"Perpindahan ini tertakluk kepada persetujuan terma peribadi, keperluan visa UK dan ujian perubatan," kata United dalam satu kenyataan.

Bos Real, Carlo Ancelotti berkata: "Saya sudah berbincang dengannya. Dia mahukan cabaran baharu.

"Kelab memahaminya. Selepas apa yang disumbangkannya bersama kelab selama ini, kami harus menghormati keputusannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 7:15 AM