KENYATAAN Tunku Ismail di media sosial, hari ini. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
KENYATAAN Tunku Ismail di media sosial, hari ini. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Wang bukan segala-galanya, tetapi pengetahuan serta semangat adalah resipi kejayaan. Itu tip dikongsikan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, contoh kegagalan pasukan berbelanja besar, namun tiada kejayaan diraih adalah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Jelasnya, wang bukanlah satu-satunya jalan untuk meraih kejayaan kerana ia tidak boleh dibeli.

Tetapi, menurutnya, sesuatu kejayaan itu akan dicapai jika pengurusan memiliki pengetahuan dan bijak membelanjakan wang dengan cara yang betul bagi menaikkan prestasi kelab.

"Ada yang mengatakan wang boleh membeli kejayaan. Manchester United membelanjakan lebih £1 bilion (RM5.39 bilion) dalam tempoh 10 tahun lalu sementara beberapa kelab di Malaysia berbelanja berjuta-juta setiap tahun.

"Tetapi mereka adalah contoh betapa wang sahaja tidak cukup untuk meraih kejayaan. Anda perlu mempunyai pengetahuan, dedikasi, semangat, dan tahu bagaimana untuk membelanjakan wang," kata Tunku Ismail di laman sosial Johor Southern Tigers.

Perkara itu sebenarnya sudah disuarakan Tunku Ismail sebelum ini dengan menjelaskan mana-mana pasukan termasuk di Liga Malaysia (Liga M) perlu bijak menguruskan wang dalam usaha mencapai kejayaan.

JDT antara contoh kelab Liga M yang berjaya dengan dominasi setiap musim disamping bijak membina jenama yang kini sudah dikenali ramai sama ada peminat dari dalam atau luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 11:43 AM