HECTOR Bidoglio. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
HECTOR Bidoglio. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kredibiliti ketua jurulatih baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio membentuk tatkikal yang ampuh bakal diuji apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun bekas pengendali Newells Old Boys itu baru saja dilantik, pastinya tumpuan peminat bola sepak tanah air mahu melihat pendekatan corak permainan Bidoglia yang pernah berguru dengan pengurus tersohor, Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.

Yang pasti, Bidoglio sudah mendapat gambaran formasi permainan yang ditampilkan skuad Harimau Selatan selepas melihat pasukan itu membelasah Sarawak United FC 4-0 pada aksi liga di Stadium Sarawak, Kuching, Rabu lalu sebelum menyambung tugasan yang dipikul sementara oleh penolong jurulatih Mohd Hamzani Omar dan jurulatih kecergasan, Jorge Alvarez.

Apa yang menarik, pengendali berusia 54 tahun itu mungkin tidak perlu memerah otak untuk membentuk persefahaman formasi permainan yang bakal ditampilkan JDT tatkala berdepan skuad kendalian Bojan Hodak kerana skuad Harimau Selatan yang beraksi tiga perlawanan tanpa jurulatih selepas Benjamin Mora mengundurkan diri masih mampu menoktahkan keputusan positif.

Ini dibuktikan menerusi kemenangan menewaskan Penang FC 1-0, diikuti tewaskan Melaka United 2-1 pada aksi suku akhir Piala FA dan terbaharu menang ke atas Sarawak United 4-0.

Malah pada aksi menentang skuad kendalian S Balachandran, JDT tidak mempertaruhkan kesebelasan utama sebaliknya menurunkan Adam Nor Azlin, Ramadhan Saifullah dan Syahmi Safari yang jarang mendapat minit permainan masih mampu menunjukkan persembahan yang baik dan pastinya tugas berat buat Bidoglio untuk memilih kesebelasan terbaik apabila berdepan KL City FC.

Apapun, kerjasama berpasukan barisan kejurulatihan tatkala memilki Hamzani yang pernah bersama Mario Gomez, Raul Longhi dan Mora selain Alvarez yang mengendali kecergasan pemain bakal memberi input terbaik buat Bidoglio membentuk barisan pemain yang lebih mantap.

Bagaimanapun, Bidoglio harus memperkemaskan lagi corak permainan JDT terutama mencari rumusan terbaik bagi meningkatkan kualiti taktikal pasukan itu terutama menyudahkan sepakan sudut yang sering gagal diterjemahkan dengan jaringan selain mencari jalan untuk memecah benteng lawan seandai pasukan lawan bermain secara berkampung di kawasan sendiri.

Namun di sebalik pemburuan kemenangan pada tugasan pertama, Bidoglo harus berwaspada dengan pendekatan taktlkal anak didik Hodak yang mampu membuat kejutan selepas meraih tonik apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-1 pada aksi Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 3:33 PM