BIDOGLIA (kiri) dilantik ketua jurulatih baharu JDT. FOTO Johor Southern Tigers.
BIDOGLIA (kiri) dilantik ketua jurulatih baharu JDT. FOTO Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan Hector Pablo Bidoglio akan membimbing JDT bagi menggantikan Benjamin Mora yang melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih skuad Harimau Selatan pada musim ini.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers hari ini, pengendali berusia 54 tahun itu yang pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan Venelueza dilantik selaku ketua jurulatih skuad Harimau Selatan berkuatkuasa serta- merta.

"Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell's Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.

"Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama pasukan kebangsaan Chile pada 2009," kata kenyataan itu.

Terdahulu laporan awal menyatakan Bidoglio bakal menggantikan Mora yang melepaskan jawatan pengendali skuad Harimau Selatan kerana urusan keluarga di Mexico malah pasukan itu juga membuka pintu jika pengendali dari Mexico ingin kembali ke JDT .

Sebelum dilantik secara rasmi, Bidoglio hadir menyaksikan Harimau Selatan menentang Sarawak pada aksi liga di Stadium Sarawak, Kuching, malam tadi dan menjadi saksi kemenangan bergaya 4-0.

Dengan pengumuman itu, tugas Bidoglio pasti terarah bukan sahaja mengharungi saingan liga dan separuh akhir Piala FA menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 5 Ogos ini.

Malah persiapan yang rapi juga menjadi sandaran JDT tatkala berdepan Urawa Red Diamonds pada aksi pusingan 16 pada saingan Liga Juara- Juara Asia (ACL), pertengahan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 3:43 PM