OTI  (kiri) dicabar pemain Penang FC di Stadium Hang Jebat. FOTO Melaka United FC
OTI (kiri) dicabar pemain Penang FC di Stadium Hang Jebat. FOTO Melaka United FC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) meneruskan momentum persembahan menarik selepas mengatasi Penang FC 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Kemenangan besar terbabit terhasil seolah mereka mendapat suntikan moral selepas berjaya mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan suku akhir Piala FA Sabtu lalu, sekali gus menampilkan sentuhan lebih bertenaga seawal babak permainan.

Malah jaringan pertama Melaka hadir pada minit keempat menerusi Emmanuel Oti bagi membolehkan tuan rumah memperolehi semangat lebih jitu untuk memastikan kemenangan di laman sendiri.

Gol terbabit berpunca daripada hantaran Adriano Narcizo yang disambut baik Oti yang mudah menolak masuk gol pertama menewaskan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim.

Selepas itu permainan terus dikuasai Melaka dengan tuan rumah memiliki peluang menambah jaringan namun sepakan percuma Adriano pada minit ke-19 berjaya diselamatkan Hafizul.

Seminit selepas itu Penang FC turut memiliki peluang menjaringkan gol menerusi Lucas da Silva namun percubaan kencangnya sedikit melepasi palang gol ketika penjaga gawang Melaka Ahmad Asyraaf Omar sudah bersedia.

Barisan pelawat yang hadir ke bumi Hang Tuah dengan kelebihan moral selepas mara ke separuh akhir dengan menewaskan Sri Pahang di suku akhir Piala FA bagaimanapun terus dikejutkan dengan jaringan Adriano.

Kali ini Adriano membuktikan dia antara pemain yang perlu diberi perhatian barisan lawan selepas mengutip hantaran Norde dengan melakukan rembatan kencang menghadiahkan gol kedua Melaka pada minit ke-36 saingan.

Babak kedua menyaksikan barisan Hang Tuah semakin rakus menambah jaringan dengan mengatur corak permainan terbuka menerusi gerakan Andriano, Ifedayo Olusegun, Oti dan Fadhil Idris sambil dibantu Syazwan Andik dan rakan sepasukan.

Akhirnya gerakan menarik yang direncanakan membuahkan hasil menerusi jaringan ketiga buat Melaka menerusi Ifedayo pada minit ke-58 selepas menerima hantaran Norde sekali gus menceriakan lebih 1,000 penyokong yang hadir.

Norde yang sering menjadi masalah buat benteng Harimau Kumbang terus menghukum kealpaan barisan pelawat dengan kali ini dia melakukan hantaran kepada Justin Baas bagi membolehkan pemain import dari Filipina untuk menolak masuk gol keempat pasukannya pada minit ke -60 perlawanan.

Bagaimanapun, kesungguhan anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan untuk bangkit bagi membuka jaringan hadir menerusi sepakan percuma Lucas da Silva pada m-86 namun ia tidak cukup untuk pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 11:10 PM