BELFORT  terpaksa dibawa ke pusat perubatan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BELFORT terpaksa dibawa ke pusat perubatan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan FC bakal kehilangan beberapa tonggak selepas tamat perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim FC II (JDT II) pada aksi Liga Perdana, semalam.

Pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya itu berkemungkinan kehilangan penyerang, Norshamil Abd Ghani dan pemain import, Kervens Belfort akibat kecederaan.

Belfort mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dikejarkan ke pusat perubatan manakala Norshamil digantikan pemain pertahanan, Mohd Arip Amiruddin pada minit ke-45.

Rezal berkata, dia akan melihat tahap kecederaan pemainnya samada ada boleh diturunkan atau tidak ketika menentang Kuching FC, minggu depan.

"Saya kenal pemain saya, kalau tidak mengalami kecederaan yang serius, mereka tak akan meninggalkan padang. Apa yang saya tahu, buku lali dia (Norshamil) mengalami kecederaan menyebabkan dia tak boleh teruskan permainan, kita akan jumpa doktor untuk pastikan tahap kecederaan dia," katanya dalam sidang media, selepas perlawanan semalam.

Rezal berkata, kehilangan mereka (Belfort dan Norshamil) adalah posisi yang kritikal buat Kelantan menyebabkan mereka tidak banyak pilihan di bahagian serangan.

Tambahnya, skuad Kijang Merah juga mungkin tidak dapat menggunakan khidmat penyerang import, Nixon Guylherme Brizolara yang masih dibelenggu kecederaan. Dalam perkembangan lain, Rezal berkata, dia menyambut baik penstrukturan semula liga yang memansuhkan sementara Liga Perdana dengan penyertaan 18 pasukan pada Liga Super musim depan.

"Pada pandangan saya, liga akan jadi lebih kompetitif dan kita akan tengok lebih banyak perlawanan, yang utama sekali konsistensi pemain perlu betul-betul baik dan mengambil pemain yang mampu bersaing.

"Kalau untuk mengambil sembilan pemain import, saya rasa peluang atau minit permainan perlu diberi lebih kepada pemain tempatan kita, untuk bola sepak kita juga sebenarnya," katanya.

Sementara itu, pengendali JDT II, Echeverria Mariano Raul turut memuji Kelantan sebagai pasukan yang baik apabila mampu bertahan walaupun bermain 10 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 5:48 PM