NAFUZI (kanan) dan Irfan bakal ‘menyingsing lengan’ di  Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.
NAFUZI (kanan) dan Irfan bakal ‘menyingsing lengan’ di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertembungan Terengganu FC (TFC) dengan Kuching City FC (KCFC) pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok pastinya menjanjikan aksi menarik selain dinantikan peminat setia kedua-dua pasukan.

Apa tidaknya, selain pertembungan guru, Irfan Bakti Abu Salim yang mengemudi KCFC dengan anak didiknya, Nafuzi Zain yang kini membimbing TFC, perlawanan itu juga menyajikan pertembungan dua penyerang kebangsaan Liberia, Kpah Sherman yang menyarung jersi TFC manakala Abu Kamara bersama KCFC.

Walaupun atas kertas pertembungan gergasi Pantai Timur dengan skuad Liga Perdana itu dilihat lebih memihak kepada tuan rumah kerana status berbeza selain bermain di tempat sendiri.

Tetapi pengalaman luas dimiliki Irfan Bakti, 71, yang pernah membantu TFC menjulang trofi Piala FA pada 2011 tidak boleh dipandang sebelah mata.

Namun begitu, Nafuzi, 44, yang pernah berguru dengan Irfan Bakti ketika menjadi penolong jurulatih TFC selama tiga musim bermula 2017 juga tidak kurang hebatnya lebih-lebih lagi skuadnya kini menghuni kelompok enam teratas Liga Super.

Jadi strategi dan taktikal siapa lebih hebat bakal menjadi penentu pada aksi kalah mati itu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh mengingatkan pemainnya mengambil pengajaran selepas tumpas 1-2 kepada Sabah FC Selasa lalu walaupun mendahului pelawat.

"Pesanan saya kepada pemain agar dapat melupakan episod kekalahan ketika bertemu Sabah FC pada 19 Julai lalu, sebaliknya perlu mengambil iktibar atas kelekaan setelah mendahului pelawat.

"Selain itu mereka perlu lebih fokus pada aksi kalah mati itu seolah-olah bermain di pentas final serta tidak terlalu yakin walaupun menentang pasukan Liga Perdana yang pernah ditewaskan dua kali Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Perdana kerana pasukan yang layak ke suku akhir pasti ada kekuatannya yang tersendiri selain pasti berusaha untuk melakar kejutan.

"Jadi saya percaya barisan kejurulatihan telahpun mengenal pasti kelebihan dan kekurangan pasukan lawan serta memperbaiki setiap kelemahan pasukan sendiri khususnya 'set pieces' selain perlu berwaspada dengan lawan yang bakal menggunakan taktik 'press', hantaran jauh dan cuba mencari seberapa banyak situasi bola mati," katanya yang menyeru peminat setia dapat hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 8:12 PM