KIM Swee mahu pemain segera bangkit melupakan kekalahan itu dan fokus untuk aksi Liga Super yang berikutnya. FOTO MOHD ADAM ARININ
KIM Swee mahu pemain segera bangkit melupakan kekalahan itu dan fokus untuk aksi Liga Super yang berikutnya. FOTO MOHD ADAM ARININ
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Cukup mengecewakan untuk tewas disaat akhir terutama kita dibolosi di minit-minit terakhir tentu amat sukar untuk diterima".

Demikian reaksi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang mengakui kecewa selepas pasukannya tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Likas, malam tadi.

Begitupun, Kim Swee menegaskan ia bukan pengakhiran perjalanan skuad kendaliannya apabila beliau mahu pemain segera bangkit melupakan kekalahan itu dan fokus untuk aksi Liga Super yang berikutnya.

"Ini bukan penamat, kita masih banyak lagi perlawanan dan kita perlu bangkit semula dan berikan aksi terbaik di mana kita akan menentang Terengganu selepas ini.

"Aksi lalu sudah berakhir dan saya tahu ia cukup mengecewakan dikalangan peminat tapi saya mahu katakan kehadiran penyokong ke stadium cukup baik dan harap ia diteruskan untuk aksi-aksi lain," katanya.

Sabah yang pada awalnya mendahului menerusi jaringan Park Tae-su di minit 19, terpaksa akur dengan kehebatan juara lapan kali berturut-turut Liga Super apabila JDT bangkit untuk meraih dua gol melalui Fernando Forestieri di minit 26 dan 95.

Ujar bekas jurulatih kebangsaan itu lagi, sepakan percuma yang diraih pelawat di minit akhir itu adalah pemusnah harapan anak didiknya untuk sekurang-kurangnya memungut satu mata.

"Kita tahu pasukan JDT mempunyai pemain seperti mana mereka biasa bermain, namun kita berjaya mengekang asakan-asakan JDT tetapi dengan sepakan percuma itu, ia memisahkan antara kita dan juga JDT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 6:12 PM