Pemain import Sabah FC, Park Tae-su (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Pemain import Sabah FC, Park Tae-su (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali baharu Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui gol yang dijaringkan pertahanan import pasukannya Park Tae-su mempunyai kualiti dan agak sukar untuk dilakukan oleh pemain lain pada jarak lebih 30 meter.

Kim Swee berkata, beliau akan berbincang bersama Tae-su dan pihak pengurusan untuk mengambil tindakan lanjut dengan menyenaraikan jaringan terbabit dalam anugerah Puskas.

"Pada masa sekarang kita tidak membincangkan lagi untuk membawa jaringan berkenaan bagi anugerah Puskas kerana mahu memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia.

"Mungkin selepas perlawanan bertemu Kelantan FC nanti, saya akan berbincang bersama Tae-su dan pengurusan kerana sememangnya gol berkenaan mempunyai kualiti dan agak sukar untuk melihatnya berjaya dilakukan dalam saingan kompetitif.

"Sudah tentu jaringan itu menyuntik semangat pasukan untuk mencipta keputusan positif pada perlawanan akan datang," katanya.

Terdahulu, jaringan jarak jauh yang memukau oleh Tae-su ketika menentang Petaling Jaya (PJ) City FC pada aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021 mendapat perhatian meluas termasuk di peringkat antarabangsa.

Pemerhati serta peminat bola sepak tanah air memuji jaringan 'roket' dari jarak kira-kira 35 meter itu yang disifatkan jarang berlaku dalam kancah saingan tempatan.

Malah, gol Tae-su hasil sepakan percuma pada minit ke-20 itu berjaya menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang menzahirkan rasa kagum dalam ciapan Twitter rasmi badan induk bola sepak dunia itu.

"Tepukan buat Park Tae Su! Jaringan roket daripada 40 ela yang terkena palang sebelum memasuki jaring. Gol yang pasti menjadi sejarah buat @SabahFCofficial," menurut ciapan FIFA.

Ciapan itu mendapat hampir 4,000 twit semula dan lebih 6,000 'like'.

Mengikut rekod, pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016 Mohd Faiz Subri mencipta sensasi dalam sejarah bola sepak negara selepas menjadi pemain Asia pertama meraih anugerah itu selepas meledak jaringan luar biasa ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super pada Februari 2016.

Kejayaan itu meletakkan Mohd Faiz sebaris bintang dunia apabila anugerah yang mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu pernah dimenangi beberapa pemain antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:06 PM