PEKERJA am melakukan kerja membaik pulih rumput di padang sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEKERJA am melakukan kerja membaik pulih rumput di padang sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu. FOTO AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Bangi: Penilaian termasuk forensik struktur terhadap Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan dilakukan segera bagi mengenal pasti aspek di stadium itu yang perlu diperbaiki sebelum tindakan seterusnya diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melantik sebuah syarikat untuk membuat penilaian itu kerana selain padang, penambahbaikan turut akan meliputi fasiliti lain seperti tandas di stadium itu.

"Bangunan stadium dibina pada 1990-an untuk digunakan pada Sukan Komanwel 1998, sudah lama kita tak buat forensik struktur, jadi kita nak tahu apakah masih kukuh dan sebagainya, apa perlu dibuat," katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan persidangan Parlimen Belia di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas laporan penilaian itu diterima, Lembaga Pengarah PSM akan bermesyuarat untuk menentukan fasiliti perlu diperbaiki sebelum perkara itu dibawa ke Kementerian Kewangan.

"Dalam masa sama, kami akan memulakan proses perolehan kerajaan kerana kami tak boleh tukar padang (tanpa kelulusan)," katanya.

Beliau berkata, padang akan ditukar dengan rumput jenis 'Zeon Zoysia' sama seperti digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, yang dikurniakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ahmad Faizal turut menjelaskan SNBJ tidak ditutup sepenuhnya bermula semalam, iaitu beberapa fasiliti yang tidak terbabit dengan kerja kerja penambahbaikan seperti trek boleh digunakan buat masa ini.

"Kami sedang berbincang dengan beberapa penganjur (yang telah membuat tempahan), sebagai contoh pertukaran rumput tidak dibuat esok, jadi kalau nak buat konsert boleh. "Apabila mula proses tukar rumput, ia akan ditutup sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, laporan kemajuan mengenai kerja baik pulih akan dilaporkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Kualiti padang SNBJ yang teruk dan air bertakung selepas hujan lebat sebelum aksi kedua antara Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia menentang pasukan di tempat ke-89 dunia, Bahrain bermula pada Sabtu lalu, mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Lebih memalukan, beberapa petugas di stadium dilihat cuba mengalirkan air dari permukaan padang menggunakan penyodok sampah dan kadbod sebelum sepak dan mula mengundang kritikan negatif, selain mencalar imej negara di peringkat antarabangsa menyebabkan KBS mempercepatkan kerja-kerja penambahbaikan yang pada awalnya dirancang bermula Mac 2023.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau akan berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri untuk membincangkan perincian insentif kepada pasukan hoki dan bola sepak kebangsaan, yang masing-masing mencipta kejayaan layak ke Piala Dunia dan Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 10:10 PM