KIM Pan-gon. -FOTO NSTP
KIM Pan-gon. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapa sangka dalam tempoh tiga bulan saja pengendali skuad Harimau Malaya dari Korea Selatan, Kim Pan-gon mampu menggubah nasib pasukan negara apabila layak secara merit ke Piala Asia sekaligus menamatkan sumpahan selama 43 tahun tidak layak ke pentas tertinggi Asia itu.

Sebenarnya apa yang dilakukan Pan-gon boleh diibaratkan 'magis' kerana dalam tempoh singkat selama tiga bulan, beliau mampu membawa perubahan besar kepada permainan skuad negara.

Berdasarkan rekod, bekas jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu dilantik secara rasmi pada Mac lalu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan dan dalam tempoha sesingkat itu Malaysia layak ke Piala Asia.

Bagaimanapun, Pan-gon ketika ditemui pada sidang media selepas berakhirnya aksi ketiga Kumpulan E Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, beliau mengakui ia bukanlah hadir semata-mata atas sentuhannya, sebaliknya adalah kerjasama semua pihak.

Malah Pan-gon sendiri mengakui dirinya hanyalah insan 'kecil' atau jurulatih biasa yang hanya datang ke Malaysia untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan negara.

Katanya, kelab-kelab dalam saingan Liga Malaysia, jurulatih, pemain dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah tulang belakang kepada kejayaan ini dengan dirinya hanya membantu sekadar termampu.

"Saya hanyalah jurulatih kecil, saya datang ke sini meminta semua pihak membantu dan juga mendapat sokongan khas daripada pasukan-pasukan Liga Super.

"Dengan FAM saya banyak permintaan, saya tahu ia agak sukar buat mereka tapi beliau (Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin) cuba sedaya upaya untuk memenuhinya.

"Seperti kem latihan, kami banyak menambah baik dari segi infrastruktur, kami dapat yang terbaik. Saya tidak melakukan apa-apa, semua yang terbabit melakukan tugasan mereka dengan baik," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi menentang Bangladesh malam tadi.

Dalam aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia itu, skuad negara berjaya membenam Bangladesh dengan 4-1 untuk muncul antara lima pasukan naib juara terbaik dalam kempen kelayakan pusingan ketiga itu.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 di Kuwait dengan pasukan negara menamatkan saingan di tempat keenam daripada 10 negara yang layak.

Selepas itu, Malaysia tidak pernah lagi menjejakkan kaki secara merit ke pentas tertinggi Asia itu meskipun pada 2007 membuat penampilan di Piala Asia selaku tuan rumah bersama dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Jelas bekas Pengarah Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) itu, semua kelab dalam saingan Liga Malaysia termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) banyak memberi kelebihan buat skuad kendaliannya.

Ujarnya, pengamalan pemain-pemain JDT beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) memudahkan lagi barisan kejurulatihan untuk mempersiapkan pasukan.

"Saya dapat lihat ramai pemain berpotensi yang bagus, ini yang dilakukan oleh bola sepak Malaysia, bukan saya," katanya.

Dengan berakhirnya pusingan kelayakan itu, 24 pasukan terbaik Asia itu bakal berentap di pusingan akhir tahun depan dengan empat buah negara iaitu Jepun, Korea Selatan, Qatar dan Australia dilaporkan berminat untuk menjadi tuan rumah bagi edisi ke 18 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 2:15 PM